Go Eat: Bantu Suri Rumah Jual Makanan

CYBERJAYA – Usaha murni seorang anak muda yang mahu membantu suri rumah dan ibu tunggal memasarkan makanan dari rumah ke peringkat yang lebih baik kini mendapat pujian ramai netizen terutama dari kalangan usahawan kecil.

Misi mulia yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman membuktikan kelainan apabila aplikasi itu turut menawarkan makanan masak dari rumah milik suri rumah dan ibu tunggal selain restoran-restoran terpilih menjadi sebahagian vendornya menjana pendapatan.

Pengasas Go Eat itu berkata, mereka yang mahu menjana pendapatan boleh menjadi vendor servis hantar makanan melalui platform digital itu tetapi perlu memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Pada masa yang sama servis penghantaran makanan Go Eat turut membuka peluang pekerjaan kepada yang berminat menjadi penghantar makanan.

“Go Eat menyediakan platform itu memandangkan di Malaysia ramai menjadi peniaga persendirian atau kecil-kecilan mempunyai pelbagai juadah makanan yang berkualiti tetapi berdepan dengan masalah ruang untuk mempromosikan produk mereka,” katanya kepada MelayuBangkitNews.

Aplikasi digital Go Eat ini merupakan aplikasi servis makanan yang pertama dibangunkan oleh anak muda tempatan di Malaysia.

Ia menyediakan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor logistik, makanan dan minuman serta perniagaan dari rumah iaitu home-cook.

Menggunakan pendekatan aplikasi mesra pengguna, Go Eat menyasarkan jumlah muat turun sehingga mencecah 1,000,000 pengguna dalam tempoh enam bulan operasi.

Terdapat beberapa plan pembangunan aplikasi digital yang lain akan dibangunkan selepas ini dan ianya berkait rapat dengan Go Eat.

Lebih menarik, keseluruhan kakitangannya juga menggunakan tenaga rakyat tempatan dan jelas dilihat menerusi logo aplikasinya yang berwarna kuning dan hitam bagi mencerminkan semangat nasionalisme.

Aplikasi Go Eat yang dibangunkan sejak 2018 menggunakan pasukan yang terdiri daripada rakyat Malaysia bagi tujuan pembangunan, peranti, aplikasi dan sebagainya.

Aplikasi itu boleh dimuat turun di Android Playstore atau IOS Appstore sejak 18 Januari yang lalu. ~MBNews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *