MONUMEN UNTUK “FRONTLINERS” NEGARA

1) Lebih 3 bulan berlalu setelah wabak Covid-19 memberi impak terhadap bidang kesihatan dan perubatan di negara ini. Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 121 kes kematian telah dilaporkan akibat dari wabak tersebut. Alhamdulillah Malaysia antara beberapa negara Asia yang sedang dalam proses pemulihan dari bencana global itu.

2) Tindakan drastik dan kontroversi yang terpaksa diambil kerajaan Malaysia dari Perikatan Nasional (PN) seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudiannya dilonggarkan secara berperingkat nampaknya kian membuahkan hasil apabila jumlah kes baru Covid-19 makin menurun. Malaysia dipuji di pentas dunia terutama di media-media sosial.

3) “Perang” menentang “serangan” Covid-19 ini tidak mungkin akan menghampiri kejayaan jika tidak kerana “perajurit-perajurit” negara yang berada di barisan hadapan (frontliners). Mereka inilah antara tonggak utama dalam menyelamatkan nyawa rakyat hingga ada di antara mereka turut terkorban demi tugas dan tanggungjawab.

4) Tiada harga serta ganjaran yang dapat membayar kembali segala penat lelah para wira dan wirawati nasional tersebut dalam “peperangan” bersejarah menentang musuh yang tidak dapat dilihat. Mereka itu mungkin merupakan jiran kita, saudara kita, rakan kita, pekerja atau pemimpin dari kalangan kita.

5) Anak-anak bangsa yang tergolong dalam petugas barisan hadapan itu antaranya para doktor, jururawat, ahli farmasi dan pembantu perubatan terutama dalam sektor kerajaan. Tidak lupa juga hero-hero beruniform kita seperti para anggota dari PDRM, ATM, RELA, APM, IMIGRESEN dan banyak lagi. Kemuliaan jasa mereka demi agama, bangsa dan negara adalah sumber inspirasi anak cucu kita bersama.

6) Maka dengan ini saya ingin mencadangkan agar pengorbanan para petugas barisan hadapan tersebut diabadikan secara rasmi. Khutbah sembahyang Jumaat di masjid-masjid boleh diselitkan dengan penghargaan serta doa agar Tuhan terus memelihara para “pejuang” kita itu. Kisah sejarah Covid-19 dan usaha melawannya perlu diselitkan dalam buku teks sejarah di sekolah dan di peringkat IPT.

7) Satu siri dokumentari khusus yang memaparkan tugas serta detik-detik kritikal para petugas barisan hadapan wajar dibuat bagi merakamkan segala memori satu “perjuangan” yang cukup getir negara pernah hadapi setelah Insurgensi Komunis pasca merdeka. Siri dokumentari ini boleh ditayangkan setiap kali ada ulang tahun memperingati bencana Covid-19.

8) Wajah dan nama mereka yang terlibat sebagai petugas barisan hadapan perlu diabadikan di hospital-hospital, balai-balai polis dan kem-kem tentera agar terus menjadi ikon semangat untuk rakyat kita terus berjuang menghadapi apa jua dugaan. Mereka sepatutnya dijulang sebagai adiwira sebenar Malaysia.

9) Mungkin ada pihak boleh membiayai pembinaan satu monumen atau tugu nasional bagi mengabadikan para perwira negara tersebut. Ia mungkin boleh dibina di setiap negeri bagi menunjukkan rasa terima kasih serta penghargaan rakyat terhadap mereka. Malaysia amat memerlukan satu simbol penyatuan kebangsaan, dan simbol itu adalah para petugas barisan hadapan menentang Covid-19.

Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia

23 Jun 2020