Mesyuarat Peringkat Menteri Kluster Infrastruktur (MPMKI)

Mesyuarat Peringkat Menteri Kluster Infrastruktur (MPMKI) kali pertama, yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Kluster Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah diadakan di Kementerian Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat ini telah dihadiri oleh kesemua Menteri di bawah kluster berkenaan, iaitu Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Wee Ka Siong; Menteri Alam Sekitar, YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin; Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. Kehadiran beliau melibatkan pembinaan projek-projek infrastruktur di sekitar Kuala Lumpur.

MPMKI merupakan mesyuarat tertinggi bagi kluster ini yang berperanan membuat keputusan dasar mengenai perancangan dan pembangunan infrastruktur negara. Ini merangkumi sistem perhubungan, sistem komunikasi, sistem pengangkutan, perancangan dan pembangunan bandar / luar bandar serta aspek alam sekitar yang saling berkait rapat dengan sosioekonomi penduduk Malaysia.

Mesyuarat pada kali ini turut membincangkan mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Perlu (Essential Services). Satu Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi Projek Pembinaan telah dicadangkan sebagai rujukan dan pematuhan penggiat industri pembinaan semasa perlaksanaan PKP, jika ia diteruskan atau jika ianya tidak diteruskan. Ia turut menggariskan jenis projek yang akan dibenarkan beroperasi dan memperincikan bilangan pekerja yang dibenarkan mengikut skala projek.

Selain itu satu Garis Panduan Amalan Langkah Pencegahan Covid 19 di Tapak Bina turut dicadangkan untuk dipatuhi oleh semua kontraktor yang dibenarkan beroperasi jika kerajaan memutuskan PKP diteruskan atau tidak. Garis panduan ini menggariskan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan wabak COVID-19 di tapak bina yang perlu diamalkan oleh setiap pekerja. Cadangan SOP dan Garis Panduan berkenaan juga akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan ia benar-benar mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak.

Sementara itu, bagi mengukuhkan dan memantapkan lagi keberkesanan kluster ini, Jawatankuasa Kerja Kluster Infrastruktur (MJKKI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya akan bertindak untuk memastikan arahan-arahan yang diputuskan di peringkat MPMKI dilaksanakan oleh setiap Kementerian dan Jabatan dan seterusnya menyelaras dan memantau prestasi pelaksanaan dasar dan pelan-pelan tindakan berkaitan.

Mesyuarat yang dilaksanakan secara berkala ini akan turut menjadi platform penyelesaian kepada isu-isu pentadbiran dan pengurusan merentasi Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan. Inisiatif dan pelan jangka masa pendek dan jangka masa sederhana turut dirangka dan dilaksanakan oleh Kerajaan secara bersepadu dan hasil kesannya dijangka dapat dilihat oleh rakyat menjelang tahun 2023.

Mesyuarat Peringkat Menteri Kluster Infrastruktur (MPMKI) yang pertama dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Kluster Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya di Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Dato’ Sri Fadillah Yusof

Menteri Kanan Kluster Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya

(9 April 2020)

Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat | Kementerian Kerja Raya Malaysia

Tel : 03- 8000 8000 / D.L :03-2771 4616 / 4627 | : 03-2711 1101

Laman Web : www.kkr.gov.my