Bangkit dari sakit dengan berniaga ebook dari rumah

BUKAN mudah untuk bangkit dari kejatuhan akibat menghadapi masalah kesihatan kronik. Namun kisah Pegawai Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Hasrul Taufek Roslan, 37, ini boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi.

Menyorot sepintas lalu kerjayanya, sepanjang 13 tahun berkhidmat di TUDM, beliau telah menerima dua kali Anugerah Khidmat Cemerlang dari Kementerian Pertahanan dan juga menerima penghargaan dari pihak Duta Besar Malaysia di Negara Lubnan sewaktu bertugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015-2016.

  

Beliau yang mesra dengan panggilan Shiro ini mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang perniagaan sejak dari kecil lagi. Dan beliau hanya melakukan perniagaan secara sambilan sahaja tanpa mengganggu tugas hakikinya.

Meskipun berniaga sambilan, Shiro berjaya meraih beberapa kejayaan antaranya menjadi salah seorang ‘achiever’ usahawan online 2011 dan ‘achiever’ dalam sebuah perniagaan rangkaian pada 2015 di mana beliau memimpin lebih 3,000 usahawan di Pantai Timur.

Lebih manis, Shiro juga turut mengasas dan memiliki pusat latihannya tersendiri iaitu Happy Shiro Academy untuk menjalankan kursus-kursus motivasi dan keusahawanan.

Namun begitu hobinya lebih terdorong untuk menulis buku berbentuk elektronik atau lebih dikenali sebagai ebook. Mula menulis ebook pertama tentang pemasaran rangkaian pada 2014.

“Ebook saya banyak menumpukan pengalaman usahawan dan motivasi. Namun ujian dari Allah tiba-tiba datang menguji apabila saya disahkan menghidap penyakit saraf yang dikenali sebaga Cervical Dystonia,” cerita beliau kepada SUKSES News menerusi kenyataan yang dihantar ke emel notaeditor@gmail.com.

“Keadaan ini telah menyebabkan saya tidak mampu bertugas sejak Mei 2018 hingga kini. Hospital dan pakar perubatan menjadi teman kajian untuk rawatan tetapi masih buntu,” ceritanya lagi.

Tiga bulan pertama, Shiro hanya berkurung di dalam rumah akibat putus asa kerana menganggap dirinya sudah cacat, tidak mampu memandu malah simpanan kewangan juga berkurangan kerana menampung perbelanjaan menjalani pelbagai rawatan moden dan alternatif.

Faktor berjaya bangkit bermula apabila sahabat beliau berbangsa Cina, Sam Voon iaitu CEO sebuah syarikat digital yang membangunkan platform jualan ebook secara dalam talian (online) datang melawat beliau sewaktu kronik di hospital dan di rumah.

“Sam banyak memberi motivasi tanpa henti kepada saya walaupun berlainan bangsa dan agama. Saya akhirnya berjaya bangkit sendiri melawan kesakitan yang dihadapi dengan mula menulis semula ebook kedua, ketiga dan keempat dari rumah,” akuinya secara jujur.

“Saya nak tunjukkan sesuatu bahawa ketika kita sedang sakit, kita tidak mampu bekerja tetapi ebook boleh menjadi sumber alternatif untuk membantu menyara kehidupan kita,” tambah beliau.

Shiro kini turut menjadi inspirasi dengan berkongsi ilmu penulisan serta pemasaran ebook kepada orang-orang biasa yang mempunyai hasrat menjadi penulis dan usahawan ebook.

Walaupun bergantung kepada ubat penenang saraf setiap hari, dalam tempoh dua bulan, Shiro telah berjaya membina jaringan usahawan platform ebookstore melebihi 100 orang. Usaha ini dibantu oleh Sam yang akan menjemput beliau di rumah ke hospital dan juga ke kelas jika terdapat peserta yang mahu belajar.

“Perkongsian ini bukan sekadar motivasi semata-mata, tetapi saya lebih bersemangat untuk terus membantu masyarakat di luar sana untuk membimbing mereka sebagai perintis memulakan perniagaan ebook menggunakan platform evenchise ebookstore yang telah bertaraf global bermula tahun lalu,” jelasnya.

Jelas Shiro lagi, para usahawan ini akan dibimbing supaya mereka dapat menjana pendapatan dari rumah dengan hanya menggunakan internet.

“Tulislah sesuatu agar masa mata kita terpejam nanti, ada insan lain yang boleh baca apa yang kita tinggalkan. Menulis bukan sekadar duit tetapi keberkatan dan saham akhirat,” pesan beliau mengakhiri perbualan.

Shiro sentiasa berada di rumah. Jika anda mahu mendapatkan ilmu, perkongsian motivasi atau berminat mengenali dirinya dengan lebih dekat, boleh hubungi 01125618098.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *