PENINGKATAN populasi yang semakin tinggi memberi tekanan kepada perumahan bandar, infrastruktur dan sistem pengangkutan, penduduk, perancang dan pihak kerajaan.

Kementerian Wilayah Persekutuan, khususnya perlu mencari jalan penyelesaian yang bijak untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar mampu didiami oleh semua lapisan masyarakat.

Hampir tiada rumah baru dikhaskan bagi mereka yang berpendapatan rendah, ada yang berpendapat harga hartanah di Kuala Lumpur dijangka akan terus meningkat susulan daripada pandemik COVID-19, namun pembinaan mercu tanda bagi ‘golongan kayangan’ dan pembeli antarabangsa terus berlanjutan bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Meskipun adanya program-program perumahan kerajaan seperti Perumahan Awam Kos Rendah Bersepadu (PAKRB), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Program Perumahan Rakyat (PPR) namun sehingga ke hari ini, masih ramai rakyat kita yang masih tidak mampu memiliki rumah.

Dalam konteks pembangunan bandar, kerajaan memerlukan perancangan yang teliti. Aspek perancangan memainkan peranan yang sangat penting. Perancangan tersebut mestilah bersifat masa hadapan yang mempunyai visi dan misi bagi mewujudkan bandar sebagai habitat yang sesuai untuk didiami oleh penghuninya.

Pemilikan rumah dan perumahan sosial semakin tidak dapat dijangkau oleh golongan muda – situasi yang diperparah oleh pasaran pekerjaan yang mencabar, hutang pelajar dan pembaharuan kesejahteraan yang semakin meningkat, menyukarkan keadaan mereka yang tinggal di bandar.

Secara umumnya, boleh dikatakan bahawa masalah perumahan di Malaysia terutamanya di kawasan bandar adalah disebabkan oleh penawaran rumah kos rendah dan mampu milik yang masih tidak dapat memenuhi permintaan penduduk bandaraya.

Perkara ini sebenarnya memberikan tekanan kepada pasaran perumahan yang berpatutan, memandangkan para pemaju merebut tanah dan sumber murah yang boleh diubah menjadi pembinaan perumahan kos tinggi untuk meraih keuntungan.

Rata-rata rakyat terutamanya dikawasan bandar menghadapi kesukaran untuk membeli rumah kos rendah akibat daripada kerenah birokrasi dan amalan korupsi di kalangan penjawat awam dan ahli politik dalam penempatan perumahan.

Kebimbangan sosial boleh membawa kepada kemarahan masyarakat bandar, memandangkan kerajaan dilihat gagal dalam menangani keperluan perumahan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dengan perlancaran politik mudah komitmen dan jaminan kerajaan bagi projek-projek besar seperti Menara Merdeka 118, sukar bagi para pengundi muda khususnya di bandar untuk  mengetahui apa hasil yang diharapkan dari suntikan dana berbilion ringgit yang dijanjikan ke arah infrastruktur.

Kebanyakkan masyarakat bandar hari ini sudah mula berhijrah kembali ke kampung kerana kehidupan di bandaraya gagal memberikan pertumbuhan lestari buat mereka.

Kita harus sedar bahawa masa depan dasar kelestarian di Malaysia bergantung kepada keberkesanan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat di bandar dan luar bandar.

 

Mahathir Hj Mohd Rais

KETUA BERSATU BAHAGIAN SEGAMBUT

PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Khamis, 16 Disember 2021

Previous post Pengalaman dikejar ah long, bakar semangat bina bisnes baharu
Next post Mikrocip disuntik pada lengan simpan rekod vaksinasi Covid-19