KES yang membabitkan jenayah scam memang cukup serius sehingga mangsa ditipu dan mengalami kerugian dari segi wang ringgit yang bukan sedikit.

Sehubungan itu, ia mencetuskan idea buat syarikat produksi Dream Film Sdn Bhd untuk menghasilkan filem berjudul Oppa.

Menurut pengarahnya, Captain Denil, OPPA adalah filem mengenai jenayah ‘love scam’ yang sering berlaku dalam segelintir masyarakat sekarang.

“Adakalanya saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kerana kurangnya kesedaran menjadi faktor utama ramai yang menjadi mangsa. Jadi, ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa. Sekurangkurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” katanya.

Oppa mambawa kisah seorang guru yang bercinta dengan seorang jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya itu tiba-tiba menghilangkan diri.

Lebih malang, guru tersebut turut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka semata-mata untuk diberikan kepada kekasihnya itu.

Denil menjelaskan, tajuk ‘Oppa’ dipilih bukanlah semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi pernah berlaku kejadian di mana ada individu menggunakan gambar artis kacak Korea Selatan untuk memperdayakan mangsa menerusi aplikasi ‘dating’ di media sosial.

“Jalan cerita yang dipaparkan adalah adaptasi dari kisah sebenar yang pernah berlaku, berdasarkan laporan kepada pihak polis, jelasnya lagi.

Beliau juga memberitahu, filem arahannya itu turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

“Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.

“Malah, seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya lagi.

Denil turut mengakui kesukaran mencari penaja dan pelabur untuk menerbitkan Oppa ternyata memberikan cabaran tersendiri untuk dirinya.

“Pada peringkat awal pembikinan, tidak ramai yang berminat untuk melabur kerana Oppa bukanlah filem komersial. Ia lebih kepada memberikan kesedaran, dan berbeza dengan filem komersial. Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami.

“Apa pun saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur untuk merealiasikan filem Oppa, termasuk kepada PDRM yang sangat banyak membantu kami,” jelasnya.

Beliau mengharapkan Oppa dapat memberikan impak kepada kepada para penonton. Paling penting, mereka yang menonton Oppa akan sedar tentang kebahayaan jenayah ‘love scam’ yang semakin kerap berlaku.

“Sekurang-kurangnya, cerita yang dipaparkan boleh menjadi pengajaran agar tidak terperangkap dengan kes jenayah sebegini,” jelas Denil lagi.

OPPA yang menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 Mei 2024 unik kerana ia menghimpunkan pelakon dari pelbagai kaum, dan menggunakan beberapa bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, India, Korea dan dialek.

Filem berkenaan menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta pempengaruh popular, Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi.

Antara pelakon lain ialah Jack Wong Soon Kiat (Jack), Laviniya Naidu Surianarayanan (Cikgu Lavi), Maria Francisca Martinus (Cikgu Maria), Low Chia Sing (Encik Chow), Yee Lik Chin (Orange), serta Supt Mohd Faizal Zainal (diri sendiri), dan ASP Mohd Yusri Abdullah (diri sendiri). Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, CP Dato’ Sri Ramli Mohamed Y00suf turut muncul dalam sebuah adegan.

Previous post Oasis places successfully hosts through our heart empowwerfest 2024 – Carnival of inclusion & neurodiversity
Next post Program Gema Puisi Orang Silat 2024 (GEMPOR 24) sempena Seminar Penulisan dan Pemasaran E-buku