PETALING JAYA: Seramai 53,000 individu lingkungan 30 tahun dan ke bawah menguruskan semula kedudukan kewangan mereka melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) melibatkan hutang yang masih aktif berjumlah lebih RM1.9 bilion.

Akibatnya mereka berhadapan dengan pelbagai isu kewangan serta tidak dibenarkan mengambil pinjaman baharu serta dirujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Memberitahu Utusan Malaysia, AKPK memaklumkan, golongan berusia lingkungan 28 tahun hingga 30 tahun mencatatkan peratusan tertinggi memohon solusi kewangan iaitu 65 peratus daripada jumlah keseluruhan kliennya setakat Mac lalu.

Antara faktor utama yang menyebabkan golongan berkenaan mendapatkan perkhidmatan AKPK adalah untuk mengembalikan kedudukan aliran tunai mereka kembali.

Jelas AKPK, keadaan ini disebabkan oleh kurangnya pendedahan kepada pengurusan kewangan yang cekap dan kecenderungan untuk berbelanja melebihi kemampuan.

Ter­utamanya apabila me­reka mula menambah bila­ngan ahli keluarga serta untuk meme­nuhi keperluan dan gaya hidup, seperti membuat pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan dan lain-lain.

Di antara fasiliti utama yang dibantu melalui PPK termasuklah pinjaman atau pembiayaan perumahan, sewa beli, kad kredit, kad caj dan pinjaman peribadi yang diperoleh daripada institusi perbankan atau penyedia kredit yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mengikut rekod AKPK, di antara kemudahan kredit yang paling banyak distrukturkan semula ialah kad kredit iaitu melibatkan 47 peratus, diikuti oleh pinjaman peribadi seba­nyak 40 peratus. Selain itu, pinjaman sewa beli atau pinjaman kenderaan sebanyak tiga peratus, pinjaman perumahan sebanyak dua peratus dan lapan peratus bagi hutang-hutang lain.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan kakitangan kerajaan Gred 41 dan ke bawah antara yang paling ramai membuat pinjaman peribadi bagi menanggung kos sara hidup yang tinggi selain jumlah gaji diterima menghampiri garis kemiskinan.

Sebelum ini, Presiden Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, hanya lima peratus atau kira-kira 50,000 penambahan peminjam baharu direkodkan setelah peminjam lama me­langsaikan pinjaman masing-masing.

Menurutnya, sejak penubuhan AKPK pada 2006 sehingga bulan lalu, lebih RM187 juta jumlah baki hutang diselesaikan bagi membantu peminjam kembali mengawal kewangan mereka.

Dalam pada itu, AKPK berkata, mengurus kewangan termasuk hutang-piutang adalah aspek yang perlu dititikberatkan oleh seseorang bagi menghadapi cabaran keterhutangan serius.

“Sekiranya peminjam dapat mengurus kewangan mereka secara holistik mengikut keada­an kewangan mereka, ia boleh memberi kesan bermakna dalam membantu mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Harus diingat juga bahawa penilaian kredit ke atas peminjam akan terjejas jika peminjam tidak membayar balik ansuran pinjaman dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Justeru, AKPK menasihatkan orang ramai jangan bertangguh dan bertindak awal untuk mendapatkan bantuan awal kepada masalah kewa­ngan yang dihadapi.“

Perlu ada tekad dan kesediaan mental untuk memperbaiki keadaan kewangan supaya boleh membuat keputusan yang baik menguruskan pinjaman,” katanya.

Di antara kebaikan menyer­tai PPK adalah penyusunan semula aliran tunai; tempoh bayaran balik yang munasabah berdasarkan aliran tunai terkini; penangguhan daripada tindakan undang-undang dan tiada gangguan daripada pemungut hutang.

Sumber: Utusan Malaysia

WHO-Ahmad-Jufliz-Dato-Faiza Previous post Kenapa Malaysia mesti keluar dari Organisasi Kesihatan Dunia (WHO)?
Next post MASTERON GROUP meraikan kerjasama Pendidikan Inovatif di Universiti Limkokwing