LEBIH tujuh juta pekerja swasta di negara ini terpaksa berhutang sepanjang hayat dan mengharapkan bantuan kerajaan pada setiap masa kerana tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung sekiranya gaji minimum RM1,500 tidak dilaksanakan mulai 1 Mei ini.

Perkara ini didedahkan oleh Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor kepada akhbar Utusan Malaysia, 21 April lalu.

Beliau menegaskan, gaji yang terlalu rendah di samping kos sara hidup tinggi menyebabkan golongan bawah B40 itu tidak lagi mampu bertahan yang akhirnya akan mendorong mereka meminjam wang dari institusi kewangan atau ceti haram sebagai jalan keluar daripada masalah tersebut.

Dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639,800 orang pada 2020 berbanding 405,400 pada 2019 manakala 20 peratus atau kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 beralih kepada had pendapatan di bawah B40 kesan daripada Covid-19.

Abdul Halim Mansor – Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)

Lebih membimbangkan, tegas beliau lagi, Malaysia bakal berdepan kesan domino keruntuhan ekonomi sekiranya kerajaan membuat pusingan U pelaksanaan gaji minimum yang akan turut mengundang impak terhadap pembangunan institusi sosial.

“Rakyat terpaksa melakukan dua kerja atau kerja lebih demi menanggung kehidupan. Hakikatnya sebahagian 5.3 juta rakyat terpaksa mengeluarkan wang KWSP baru-baru ini kerana mereka terpaksa bayar hutang dan menyara kehidupan kerana gaji rendah.

“Pokok pangkalnya gaji rendah mendatangkan pelbagai kesan kepada keruntuhan ekonomi apabila sudah tiada lagi kuasa membeli dalam kalangan rakyat, akhirnya ekonomi domestik terjejas secara menyeluruh. Institusi kekeluargaan turut sama hancur apabila ibu bapa tiada masa bersama keluarga anak-anak apabila perlu berniaga pada waktu malam.

“Jadi apa jalan penyelesaiannya? Jawapannya menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 agar memberi nafas baharu kepada lebih tujuh juta pekerja untuk menanggungkan kehidupan. Justeru pelaksanaan kadar minimum itu tidak boleh ditangguhkan lagi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menegaskan bahawa pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 tetap dilaksanakan mulai 1 Mei ini meskipun ada gesaan daripada persatuan majikan agar ditangguhkan.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan pelaksanaan gaji minimum pada bulan depan tidak kena pada masanya serta mendakwa ia masih belum diwartakan sehingga kini.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kenyataannya sebelum ini turut menjelaskan 40 peratus permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 memberi alasan menampung perbelanjaan keperluan asas harian, 26 peratus membayar tunggakan hutang manakala 24 peratus lagi mengalami pengurangan pendapatan.

Pada sama sama, Abdul Halim menambah, kegagalan melaksanakan gaji minimum tersebut boleh menyebabkan rakyat tempatan tidak minat bekerja apabila mereka tertarik dengan sektor ekonomi gig atau menceburi bidang perniagaan daripada rumah yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan.

Jelas beliau, situasi itu menyebabkan negara berdepan kekurangan tenaga kerja dan terpaksa mengambil pekerja asing bagi menampung keperluan jumlah buruh.

“Punca utama rakyat kita enggan kembali bekerja bukan sikap malas tetapi kerana gaji terlalu rendah sedangkan beban tanggungjawab bertambah. Jangan salahkan mereka malas bekerja, tetapi kena lihat punca ini berlalu iaitu gaji masih rendah.

“Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 secara langsung mampu menarik rakyat bekerja walaupun secara umumnya kadar itu perlu mengalami kenaikan mengikut berdasarkan prestasi masing-masing secara langsung dapat menarik kembali bekerja dalam suasana kerja yang lebih kondusif,” katanya.

Selain itu, Abdul Halim mendakwa pihak majikan akan terus menekan kerajaan agar membuat pusingan u terhadap gaji minimum itu dengan memberi pelbagai alasan termasuk mengatakan pelaksanaanya tidak sesuai buat masa sekarang.

“Oleh demikian, kerajaan diingatkan tidak tunduk dengan gesaan itu sedangkan pihak majikan harus sedar bahawa gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun. Adakah mereka tidak sedar atau buat-buat tidak tahu ketetapan ini sejak Akta Gaji Minimum diluluskan Parlimen,” soal beliau. – UTUSAN

Previous post Kumpulan Syarikat Ehsan cadang buka dua hotel baharu
Next post Maaf oleh Izmir Fareez