INDUSTRI aeroangkasa membuktikan peningkatan inovasi cipataan manusia yang wujud dalam menghasilkan sesuatu yang baharu untuk  memacu teknologi  ke hadapan. Dalam industri dinamik  yang mementingkan faktor keselamatan ini, bidang perniagaan aeroangkasa perlu bertindak secara proaktif untuk sentiasa kekal relevan dan mengatasi persaingan yang ada. 

Kini, industri aeroangkasa menampakkan peningkatan permintaan terhadap keperluan untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat demi menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kualiti terhadap perkhidmatan serta produk yang disediakan. Untuk mencapai matlamat dan memastikan kecekapan, keselamatan, dan pengiktirafan global, organisasi-organisasi aeroangkasa perlu mengutamakan piawaian AS9100, iaitu skim pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa (AQMS).

AS9100: Lebih daripada sekadar pensijilan

AS9100 adalah lebih daripada sekadar undang-undang dan peraturan; ia bertindak sebagai kaedah  strategik yang boleh dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan dalam industri aeroangkasa.

Ia menyediakan garis panduan dan peraturan dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) yang disesuaikan untuk organisasi penerbangan, angkasa lepas dan pertahanan. Syarikat yang beroperasi dalam sektor aeroangkasa wajib mengeluarkan dan menambah baik produk yang selamat dan boleh dipercayai, yang memenuhi atau melebihi kriteria pengguna dan kawal selia.

Landskap Aeroangkasa Malaysia

Malaysia mempunyai kedudukan yang penting dalam pasaran perjalanan udara terbesar dunia kerana  lokasinya yang strategik di rantau Asia-Pasifik. Malaysia merupakan tuan rumah kepada pelbagai infrastruktur berkelas dunia seperti KLIA Aeropolis, Subang Aerotech Park, Senai Aerospace Park, Serendah High Value Manufacturing Park, dan Kulim Hi-Tech Park.  Selain itu, Malaysia dijangka menjadi negara aeroangkasa terkemuka Asia Tenggara menjelang 2030 di bawah program MAIB2030 (Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030), bermula 2015 hingga 2030, yang berperanan sebagai pautan utama dalam rantaian bekalan aeroangkasa dunia. Program tersebut menyasarkan untuk menjana pendapatan sejumlah RM55.2 bilion dan mencipta lebih daripada 32,2000 jawatan bergaji tinggi.

Oleh yang demikian, sektor aeroangkasa tempatan telah menampakkan pertumbuhan yang ketara dan telah muncul sebagai industri aeroangkasa kedua terbesar di Asia Tenggara. Dengan penjanaan lebih 27,500 pekerjaan, terutamanya dalam subsektor Penyelenggaraan, Pembaikan, dan Baik Pulih (MRO: Maintenance, Repair, and Overhaul), industri ini telah mengalami perkembangan yang pesat dan kini mempunyai pelaburan daripada lebih 230 syarikat domestik dan asing. Dari segi pendapatan, industri ini dijangka menghasilkan sebanyak RM20.4 bilion untuk MRO, RM21.2 bilion untuk sektor pembuatan, dan RM13.6 bilion untuk perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk menjelang 2030.

Kepentingan Pensijilan AS9100

Skim pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa adalah penting untuk semua perniagaan dan organisasi di dalam sektor aeroangkasa, ini termasuk syarikat yang terlibat dalam bidang reka bentuk, pembuatan, penyelenggaraan, dan perkhidmatan. Sama ada syarikat tersebut beroperasi dalam sektor penerbangan komersil atau ketenteraan, angkasa atau pertahanan, ia perlu diperakui dari segi keselamatan, kelayakan udara dan pematuhan kepada standard kualiti global. Selain itu, semua Pengilang Peralatan Asal (OEM) bagi pesawat terkemuka memerlukan pembekal dan subkontraktor turut perlu diperakui AS9100.

Faedah Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa AS9100:

  1. Akses kepada peluang pasaran global.

Organisasi yang diperakui oleh AS9100 mempunyai  kedudukan yang lebih baik untuk bekerjasama dengan pemain utama industri aeroangkasa bertaraf dunia, yang terdiri daripada syarikat swasta dan jabatan kerajaan. Pensijilan ini mampu mencetuskan peluang perniagaan yang lebih besar, lalu meningkatkan lagi pendapatan dan prospek pertumbuhan. Banyak kontrak kerajaan, terutamanya dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan, mewajibkan pensijilan dan ini menjadikan AS9100 satu aset yang kritikal.

  1. Peningkatan imej jenama

AS9100 meningkatkan imej dan reputasi organisasi dengan menunjukkan komitmen syarikat untuk memenuhi piawaian aeroangkasa antarabangsa. Ia secara tidak langsung membuktikan kebolehpercayaan terhadap organisasi tersebut sebagai pemain industri yang berkelayakan.

  1. Jaminan terhadap keselamatan dan kebolehpercayaan produk

Selaras dengan strategi kerajaan untuk memperkukuhkan industri aeroangkasa, pensijilan AS9100 memastikan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan produk. Pensijilan AS9100 disahkan oleh juruaudit SIRIM yang berpengalaman dan terlatih secara professional dan ia berfungsi sebagai tanda kelulusan bahawa organisasi tersebut disahkan selamat dan boleh dipercayai.

SIRIM QAS dan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030

En. Zakaria Mohamad Nor, Ketua Bahagian Sektor Mekanikal, Elektrik dan Automotif SIRIM QAS berkongsi pelan yang sejajar dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang menyasarkan untuk menjadikan Malaysia Negara Aeroangkasa No. 1 di Asia Tenggara. Melalui NAICO Malaysia, MITI telah melantik SIRIM sebagai salah satu penyedia perkhidmatan dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa.

“Selaras dengan piawaian aeroangkasa AS9100 (pengeluaran aero), AS9110 (penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih) dan AS9120 (pengedaran alat ganti aeroangkasa), SIRIM QAS telah memulakan sebuah program dalam jangka masa lima (5) tahun untuk membangunkan Sistem Pengurusan Kualiti Aeroangkasa (AQMS). Industri penerbangan dan pertahanan serta rantaian bekalan tertakluk pada piawaian ini.”

Ringkasan program termasuk:

  1. Pensijilan AS9100: SIRIM telah menerima pentauliahan untuk skim pensijilan AS9100 daripada United Kingdom Accreditation Services (UKAS) pada 27 Mac 2023. Skim ini dilancarkan secara rasmi pada 23 Mei 2023 semasa Pemeran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023). Pensijilan ini kini tersedia bagi rantaian bekalan industri aeroangkasa pada kadar yang kompetitif, serta memanfaatkan kepakaran aeroangkasa tempatan.
  2. Pensijilan AS9110 dan AS9120: Skim pensijilan AS9110 (penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih) and AS9120 (pengedaran alat ganti aeroangkasa) sedang dibangunkan dan pentauliahan dijangka akan diterima pada tahun 2024 bagi AS9110, dan 2025 bagi AS9120.
  3. Singularity Aerotech Asia (SAT.ASIA): Singularity Aerotech Asia ialah salah satu penyedia untuk kejuruteraan dan teknologi pesawat. Ia mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam industri aeroangkasa. Mereka menyediakan penyelesaian kejuruteraan yang lengkap kepada perniagaan aeroangkasa antarabangsa dengan tumpuan kepada reka bentuk kejuruteraan dan analisis tekanan struktur pesawat. Syarikat ini adalah antara yang pertama menerima pensijilan AS9100 melalui SIRIM.

SIRIM QAS secara aktifnya menyumbang kepada pertumbuhan dan daya saing industri aeroangkasa Malaysia di peringkat global dengan mewujudkan dan menawarkan pensijilan kualiti yang penting. Malaysia berbangga dengan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan MRO yang berkedudukan antara tiga tempat teratas di rantau Asia-Pasifik. Kelebihan ini dapat dikekalkan hasil lokasi negara yang strategik, kebolehcapaian dalam rantau, keberkesanan kos, dan ketersediaan bakat berkemahiran.

 

 

 

 

Bagaimana-eko-label-SIRIM-memacu-pertumbuhan-perniagaan-dan-pemeliharaan-alam-sekitar Previous post Bagaimana eko-label SIRIM memacu pertumbuhan perniagaan dan pemeliharaan alam sekitar?
Next post Kementerian Kerja Raya berjaya selesai 676 aduan masalah jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan