Di kala umat islam di seluruh dunia menyambut 1 syawal dengan perasaan gembira, saudara kita yang berada di palestine menyambut syawal dengan penuh hiba. Terpaksa berdepan dengan kekejaman israel yang menyerang tanpa mempunyai asbab yang membenarkan serangan dilakukan.

Bangsa Israel yang pada asalnya merupakan pendatang menjadi sebegitu berani menuntut tanah yang sememangnya bukan milik mereka. Tidak akan pernah menjadi milik mereka!

Konflik Israel–Palestine ini bukanlah sebuah konflik antarabangsa yang bersifat sederhana sebaliknya sebuah konflik yang saya rasakan cukup menderitakan. Lebih mendukacitakan apabila pemimpin dunia seolah-olah menutup mata dan menyokong tindakan israel. Konflik ini, saya kira bukan lagi bersifat keagamaan tetapi sebaliknya bersifat penghapusan etnik atau pembunuhan beramai-ramai.

Saya menyeru Israel menghentikan serangan keganasan ini. Tindakan Israel merampas tanah dan harta benda di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis adalah jelas satu perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan patut dihukum

Persoalan saya, di manakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB pada ketika ini. Apakah piagamnya, untuk mengelakkan perulangan pertikaian dan menegakkan hak asasi manusia hanya sekadar piagam yang tertulis indah diatas kertas tanpa ada sebarang usaha untuk melaksanakannya?

Jika kita mampu membuka mata terhadap isu yang berlaku di negara lain, mengapa tidak bisa kita buka mata terhadap konflik israel-palestine. Ingin saya tegaskan bahawa Palestine tidak memerlukan simpati semua pihak tetapi sebaliknya mereka memerlukan tindakan dunia agar kekejaman terhadap mereka dapat dihentikan dengan segera.

Ingin saya puji tindakan berani rakyat malaysia melakukan serangan siber sehingga mendapat perhatian dunia. Semangat bersolidariti yang dipamerkan ini menunjukan bertapa kuatnya ukhwah kita sebagai negara yang berbilang kaum.

Saya turut bersama dengan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam sekeras-kerasnya serangan israel terhadap palestine. Tindakan YAB Perdana mengecam tindakan israel merupakan bukti bahawa beliau merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat.
Seorang pemimpin yang tidak hanya kasih kepada rakyatnya tetapi kasih kepada mereka yang ditindas.

Saya menyeru kepada semua , Marilah kita bersama-sama untuk terus memberi sokongan padu kepada saudara kita yang berada di Palestine. Bagi yang beragama islam, semoga Allah SWT mengangkat doa-doa kita. Manakala, bagi yang bukan beragama islam, semoga tuhan memberkati usaha anda untuk menghentikan kekejaman di muka bumi ini daripada terus berlaku.

Taqabbalallahu Minna Wa Minkum

Mahathir Hj Mohd Rais
Ketua Bahagian Segambut

Parti Pribumi Bersatu Malaysia

15 May 2021

Previous post Kisah kejayaan motivator wanita Asia Merry Riana
Next post Demonstrasi ‘Kerajaan Gagal’ satu bentuk provokasi – Bersatu