KUALA LUMPUR – Semua penunggang p-hailing yang layak di negara ini akan menerima Pakej P-Hailing Rahmah iaitu pakej data istimewa khas dan boleh didapati mulai hari ini hingga 23 April.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia bakal memanfaatkan hampir 200,000 penunggang p-hailing berdaftar yang berdaftar di seluruh negara.

Menurut beliau, perkhidmatan itu ditawarkan kepada kesemua 16 penyedia platform p-hailing di negara ini antaranya, FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang yang bertugas di dalam industri p-hailing.

“Inisiatif transformatif, Pakej P-Hailing Rahmah, iaitu sebuah inisiatif merangkumi semangat Rahmah, yang bermaksud berkat dan rahmat.

“Ia juga bukti komitmen kerajaan dalam menyokong ekonomi digital dan memastikan perkhidmatan penting seperti p-hailing sampai ke pelosok negara,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah, di sini, hari ini.

Melalui pakej berkenaan katanya, pemandu dan penunggang p-hailing boleh menikmati perkhidmatan internet pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB.

Jelas beliau, setiap pakej adalah unik dan berbeza mengikut persetujuan pihak syarikat telekomunikasi (telco) yang dipilih oleh penyedia platform masing-masing.

“Tahniah atas kerjasama luar biasa antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes) serta 16 buah syarikat penyedia platform p-hailing terlibat.

“Saya juga galakkan pemain industri lain agar turut teroka perkongsian serupa yang boleh memanfaatkan bukan sahaja kepada pemain industri, bahkan meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

 

Sumber: Kosmo

 

Previous post Bermula tukang servis dari rumah ke rumah, ‘Kak Aircond’ kini bina empayar pendingin hawa
Next post redONE agih lebih RM1.5 juta untuk hargai pencapaian luar biasa rakan kongsi jualan