KUALA LUMPUR, 8 Januari 2024 – AEON Bank (M) Bhd (sebelum ini dikenali sebagai ACS Digital Bhd) hari ini mengumumkan kelulusan yang diterima daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi perbankan digital di Malaysia.

“Misi utama kami membina bank digital ini adalah untuk memajukan promosi inklusi kewangan dan perbankan Islam. Sebagai salah satu jenama runcit isi rumah yang terkenal di Malaysia, kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital yang mudah diakses, inklusif dan patuh syariah terutamanya kepada pelanggan setia AEON serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kami bertekad untuk memperkasa komuniti kami dengan akses kepada perkhidmatan kewangan digital yang mudah, selamat dan terjamin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dalam satu kenyataan media.

Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda, pula berkata detik bersejarah ini merupakan langkah yang besar dalam memberi nafas baharu kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh Kumpulan AEON.

“Ini mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menyokong inklusiviti kewangan,” katanya dalam kenyataan sama.

AEON Credit adalah salah satu institusi kewangan bukan bank di Malaysia.

AEON adalah nama isi rumah yang sangat dikenali yang telah bersama dengan rakyat Malaysia di seluruh negara selama lebih empat dekad.

Dengan adanya AEON Bank, Kumpulan AEON berharap untuk memperluas dan meningkatkan mutu perkhidmatan AEON dengan lebih menyeluruh merangkumi pelanggan runcit dan borongnya serta rakan ekosistem seperti pengedar auto, pembekal, penyewa, dan lain-lain.

Selain itu, komitmen AEON Bank terhadap teknologi digital akan memudahkan pengenalan produk dan inovasi baharu bagi Kumpulan AEON, justeru meningkatkan nilai tawaran keseluruhan kepada pelanggan dan rakan ekosistem.

Raja Teh Maimunah berkata, AEON Bank merancang pelancaran berfasa untuk aplikasi baharunya, bermula dengan fasa ujian beta eksklusif bersama kumpulan pekerja AEON.

“Kami sedar akan kepentingan mengumpul pandangan dan maklum balas dari pengguna dalam mempersiapkan pelancaran aplikasi kami.

“Penawaran akses awal kepada sekumpulan pengguna beta terpilih bertujuan untuk memperhalus aplikasi AEON Bank dengan kerjasama mereka agar dapat memenuhi harapan pengguna kami yang lebih luas pada pelancaran penuh,” katanya.

AEON Bank menyasarkan pelancaran berfasanya pada separuh pertama tahun ini.

 

Sumber: Berita Harian

 

pelancaran-PADU-oleh-Datuk-Seri-Anwar-Ibrahim Previous post Sidang Media Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim
Baki-Zainal-dilantik-sebagai-Duta-CSR-Eco-Shop Next post Baki Zainal dilantik sebagai Duta CSR Eco-Shop