RIYADH, 26 Oktober 2024 – Projek pembinaan bangunan yang dijangka terbesar di dunia dikenali sebagai The Mukaab secara rasminya telah dimulakan oleh Syarikat Pembangunan New Murabba.

Menurut The Economic Times, Mukaab mencapai ketinggian 1,300 kaki dengan keluasan 1,200 kaki.

Meliputi 2 juta kaki persegi untuk ruang makan mewah, runcit, pejabat serta kediaman, projek ini menelan kos pembinaan kira-kira $50 bilion.

Bukan itu sahaja, bangunan besar yang terletak di bandar Riyadh ini juga dipercayai mampu memuatkan sehingga 20 bangunan Empire State di dalam ruangnya.

Bangunan Mukaab ini turut merangkumi 104,000 unit kediaman dan 9,000 bilik hotel, mewujudkan kawasan pusat bandar yang serba moden.

Direka dengan pendekatan ‘mesra pengguna’, Mukaab memastikan ruang hijau berada dalam jarak 15 minit dari mana-mana lokasi dalam bangunan.

Selain itu, Syarikat Pembangunan New Murabba yang dibiayai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi merancang untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan pengalaman pengunjung.

Ini termasuk paparan skrin gergasi di bahagian luar yang menyerupai Sphere di Las Vegas.

Rekaan Mukaab diinspirasikan oleh ekologi tempatan dan seni bina tradisional wilayah itu.

Struktur ini meniru bentuk wadi, iaitu lembah sungai kering, dengan laluan berliku yang dihiasi bangunan kecil di sekelilingnya.

Bentuk persegi Mukaab mencerminkan seni bina Najdi yang terkenal dengan binaan batu bata tanah, tingkap segi tiga dan halaman tengah.

Mukaab dijangka menyumbang lebih $51 bilion kepada ekonomi Arab Saudi, selain mewujudkan sekitar 334,000 peluang pekerjaan, melibatkan 900 pekerja.

Untuk info, projek ini adalah sebahagian daripada projek mega di Arab Saudi yang dijangka siap menjelang 2030.

Projek lainnya termasuklah bandar pelabuhan terapung Oxagon, destinasi pelancongan pergunungan Trojena dan bandar futuristik NEOM.

Selain itu, projek The Line yang sepanjang 105 batu turut dirancang untuk menampung 9 juta penduduk dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Semua projek ini diharap akan membawa perubahan besar dalam landskap ekonomi Arab Saudi.

Previous post Siaran penuh Pembentangan Belanjawan2025
Next post Kerajaan salur RM6.35 bilion pembiayaan kepada 265,097 usahawan