KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melantik Azdini Nor Azman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas kepada anak syarikat milik penuhnya, BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment) berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
Bank Islam dalam satu kenyataan, berkata Azdini menyertai BIMB Investment sebagai Pemangku CEO di BIMB Investment pada 1 Mac 2023 dan dilantik ke jawatan CEO setelah menerima kelulusan rasmi daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Azdini mempunyai pengalaman luas selama 26 tahun dalam industri yang merangkumi pelbagai organisasi termasuk Asian Islamic Investment Management Sdn Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CFC Seymour Limited, Bank Islam Malaysia Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd and Amanah Short Deposits Bhd.
“Sebelum menyertai BIMB Investment, beliau adalah Ketua Perbankan Borong di Hong Leong Islamic Bank Bhd (Hong Leong Islamic Bank) dan bertanggungjawab menguruskan segenap aspek perniagaan borong termasuk pasaran global Islam, perniagaan Islam dan perbankan korporat,” katanya.
Semasa tempoh perkhidmatannya di Hong Leong Islamic Bank, beliau juga adalah ahli pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja termasuk Jawatankuasa Pelaburan bagi Hong Leong Asset Management Berhad, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan ahli jawatankuasa kecil bagi inisiatif dan pembangunan industri Islam di Malaysia.
Azdini kini adalah ahli Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tahun 2022 hingga 2023.
Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perdagangan (Pengkhususan dalam Kewangan) dari Universiti Otago, New Zealand adalah seorang Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CPIF) dari Institut Profesional Kewangan Islam Berkanun (CIIF) serta memegang lesen Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (PPKM) dan Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL).
Diiktiraf berdasarkan pencapaiannya, Azdini pernah dinobatkan dalam kedudukan 100 teratas oleh Laporan Wanita Paling Berpengaruh dalam Perniagaan dan Kewangan Islam WOMANi pada 2020.
Pengiktirafan terbaharu beliau dalam kategori Significancica WOMANi menunjukkan sumbangan dan pencapaiannya dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.
Laporan WOMANi menampilkan pemimpin wanita daripada segenap industri seperti perbankan, pengurusan aset, akademik dan sektor berkaitan lain yang telah menghasilkan impak kepada perniagaan Islam.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas BIMB Investment, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir, berkata rekod cemerlang yang dimiliki Azdini adalah pengiktirafan ketokohan dan semangatnya dalam memupuk inovasi dalam perbankan Islam.
“Kami yakin Azdini akan mengemudi BIMB Investment dalam mengharungi cabaran landskap sektor kewangan yang pesat berubah dan memanfaatkan peluang baharu selain membawa syarikat ini ke tahap lebih tinggi serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruh,” katanya.
Sumber: Berita Harian