KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang kini kembali menjadi Menteri Kesihatan, jawatan yang dipegangnya sewaktu zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018, bertekad untuk meneruskan agenda reformasi kesihatan yang pernah beliau mulakan.

Beliau mengakui penglibatan semulanya dalam Kabinet adalah untuk melunaskan segala agenda yang telah dirangka sebelum ini untuk memastikan Kementerian Kesihatan (KKM) dapat diterajui dengan baik.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia, Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, antara program tersebut termasuk transformasi digital kesihatan dan kewangan kesihatan.

“Sementara saya sangat faham dan sedar keperluan ‘acute care’ di hospital, penjagaan pesakit … ini juga penting untuk saya tangani, di samping kemaslahatan dan kebajikan doktor, jururawat, dan juga farmasi dan seluruh pasukan.

“Di samping itu, masalah hospital-based yang saya kena atasi dalam waktu segera, waktu menunggu serta aduan di hospital.

“Saya juga mahu pastikan apa yang pernah saya sebut, preventive wellness, emotive wellness, penyakit tidak berjangkit (NCD), pandemik, dan sebagainya,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Zaliha Mustafa yang kini dipertanggungjawabkan untuk menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

dzulkefly-bertekad-untuk-melaksanakan-agenda-transformasi-kesihatan-digital
Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad (berpelitup muka) disambut oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Hassan sambil diperhatikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang (tengah) dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni (kiri). Beliau hadir ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya bagi memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kesihatan baharu hari ini. Foto Facebook KKM.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pelantikan semula Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan dilihat suatu yang positif bagi memperkasakan kementerian yang berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Beliau juga tidak menafikan bebanan yang dipikul penyandang sebelum ini, Dr. Zaliha Mustafa beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) turut membawa perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien, serta berjasa kepada rakyat.

“Saya mengharapkan beliau (Datuk Seri Dr Dzulkefly) akan meneruskan agenda kertas putih kesihatan, memfokuskan digitalisasi perkhidmatan Kementerian Kesihatan dan menambah baik akta-akta sedia ada yang bersesuaian mengikut situasi semasa.

“Malah, selama setahun Dr. Zaliha dengan tekun berdepan dengan beban permintaan perkhidmatan kesihatan yang lebih efisien, turut berjasa memperkenalkan Skim Perubatan Madani, membawa kertas putih ke Parlimen dan membawa RUU berkaitan kawalan merokok,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, semalam.

 

Sumber: Astro Awani, Utusan Malaysia

 

Pendaftaran-MyDigital-ID-Akan-Dibuka-Kepada-Umum-Pada-Mac-2024 Previous post Pendaftaran MyDigital ID dibuka kepada umum pada Mac 2024
Pengerusi-Jawatankuasa-Pertanian-Perladangan-dan-Industri-Makanan-negeri-Perlis-Razali-Saad Next post Sidang DUN Perlis: Tanaman jagung bijian akan diperluas menjelang 2025