JARANG ditemui artis seperti penyanyi, pelakon, pengarah, pencipta irama, penulis lirik dan pelukis yang ada kebolehan besar dalam bidang selain seni yang mereka ceburi. Biasa kita temui penyanyi boleh berlakon atau sebaliknya. Ada juga pengarah turut berlakon ataupun berlakon sambil mengarah seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, dan Tan Sri Jins Shamsudin.

Helmi Harun atau lebih dikenali dengan jolokan Helmi Gimik boleh dianggap sebagai ‘satu dalam sejuta’ kerana selain menyanyi, berlakon, mengacarakan majlis, meniru watak, penyamaran selebriti, pelawak berseorangan (standup comedian) dan ahli silap mata, beliau berbakat dan berjaya dalam bidang keusahawanan.

Kehebatannya berlawak jenaka membuatkan penonton tidak kering gusi melihat pelbagai aksi lucu bermula dari menjejakkan kaki di atas pentas. Tepukan gemuruh yang berterusan daripada penonton membuatkan suasana bertambah gamat.

Menjadi kebiasaan, Helmi membuka persembahannya dengan ucapan, “Hello everyone…Nama saya Helmi”, dan penonton akan terpesona kaku melihat aksi berikutnya.

Walaupun mungkin bukan kemuncak kerana Helmi, 62, tentu mensasarkan kejayaan lebih besar, tetapi dilantik sebagai Pengarah Pemasaran Grand Master Smart Bio Golden Remedy merupakan satu pencapaian gemilang bagi dirinya.

Barangkali kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu atau kelainan bersama-sama juga kecenderungan menjadi usahawan, Helmi menceburi bidang perniagaan. Pada suatu masa dahulu nama Helmi Gimik tidak asing dalam industri seni tanah air. Beliau merupakan penghibur serba boleh yang sering menghiburkan dengan telatahnya yang fasih berbahasa Tamil, dan Mandarin.

Helmi juga pernah dilantik sebagai jurulatih motivasi rasmi untuk pelbagai syarikat perniagaan jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) terkemuka di Malaysia.

Selepas 15 tahun menyepikan diri, kini Helmi muncul kembali, tetapi tidak sebagai penghibur, sebaliknya mengemudikan pemasaran sebuah syarikat pengeluar bahan makanan tambahan. Penampilan semulanya ini seperti membenarkan hasrat beliau enggan terus berada dalam dunia seni.

Dianugerahi gelaran terhormat Doktor Kehormat Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Sabi, Perancis pada 2019 atas pengalamannya lebih 30 tahun dalam bidang hiburan dan perniagaan, Helmi kini lebih selesa memajukan perniagaan syarikat Smart Bio Golden Remedy (SBGR).

Mengenai anugerah doktor tersebut, Helmi amat teruja dan dihargai. Beliau berasa sangat berbaloi dengan penglibatannya dalam bidang seni tanah air. Anugerah tersebut didasari oleh reputasi yang dimiliki dalam bidang seni, dan juga kegiatan menjadi jurucakap dalam bidang perniagaan MLM.

Beliau juga pernah menjadi fasilitator komunikasi awam (public speaking) di beberapa universiti dalam negaea seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan kerap diundang menjadi motivator di pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.

SBGR memperkenal rangkaian produk makanan tambahan untuk kesihatan sejak bertahun-tahun lamanya. Antara produk yang mendapat sambutan hangat ialah Kopi Cengkudu Sure Hot, Sure Beauty (kopi untuk tambah seri), Sure Power, Sure Ganoney, Sure Noney (Jus Mengkudu Asli), Sure Tealicious, ubat gigi Cengkudu dan Balm Cengkudu.

“Saya tidak mahu selama-lamanya berada dalam dunia seni kerana berhasrat lebih memajukan diri,” katanya yang turut menyeru anak seni lain agar memikirkan sehingga bila ingin berada dalam dunia seni sahaja.

Sebagai catatan, Helmi pada asalnya bermula sebagai penghibur di hotel sahaja, sebelum mencari dan mengasah potensi diri dalam bidang seni, dan memperoleh kepelbagaian kemahiran sampingan, sehingga mampu menjana pendapatan yang amat memberangsangkan.

Setelah puluhan tahun berada dalam bidang seni, khususnya persembahan pentas, jelas Helmi, beliau sering menemui pelbagai bakat seni yang amat berpotensi, tetapi kadang-kadang ada sedikit kelemahan dari segi komunikasi, dan kebijaksanaan menghibur dengan penonton.

“Meskipun kelihatan gah, tetapi menjadi artis bukanlah satu kerjaya yang benar-benar dapat menjamin masa hadapan,” tegas Helmi semasa ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama Karyawan dan Media di Shah Alam pada 23 April 2022 lalu.

Helmi Gimik menjelaskan perlantikan beliau sebagai Pengarah Pemasaran Smart Bio Golden Remedy kepada media sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Smart Bio Group Sdn Bhd, Muhammad Shukri Amin

Oleh kerana menjadi pengarah pemasaran yang tidak sekadar atas kertas sahaja, pastilah Helmi menafikan beliau turut bergelar duta kepada SBGR. Sebagai pengarah pemasaran, tambah Helmi, beliau juga merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengarah SBGR.

Pelantikan Helmi diumumkan secara rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Smart Bio Group Sdn Bhd, Muhammad Shukri Amin.

“Pelantikan Helmi memang berdasarkan pengalaman dan kepakarannya selama 30 tahun dalam perniagaan jualan langsung,” jelas Shukri pada sidang media berkenaan.

Justeru, Helmi sendiri mengaku beliau menerima tawaran jawatan tersebut bukan kerana penggunaan nama semata-mata, tetapi ditawarkan penglibatan penuh dalam semua aktiviti SBGR.

Maklumat lanjut mengenai produk-produk keluaran SBGR, boleh layari Facebook: Smart Bio Golden Remedy  – SUKSES NEWS

Previous post IJM Land bantu ringan beban keluarga yang memerlukan untuk riang ria Raya
Next post WHO Is Preparing Vote To Strip The US, And 194 Other Nations, Of It’s Sovereignty And Give Them TOTAL CONTROL Of The World