NEW DELHI – Kerajaan India didakwa mengintip wartawan berprofil tinggi dengan perisian risikan Pegasus, dedah Amnesty International dan The Washington Post dalam satu laporan siasatan bersama yang diterbitkan pada Khamis.

Pegasus ialah perisian intipan ciptaan firma Israel, NSO Group dan dijual kepada kerajaan di seluruh dunia.

Perisian itu boleh digunakan untuk mengakses mesej dan e-mel telefon, meneliti foto, mencuri dengar panggilan, menjejaki lokasi dan juga merakam pemilik dengan kamera.

Amnesty mendakwa wartawan The Wire, Siddharth Varadarajan dan The Organised Crime and Corruption Reporting Project, Anand Mangnale telah dijadikan sasaran dengan menggunakan perisian pengintip terhadap telefon pintar iPhone mereka.

Kes terbaharu itu dikenal pasti berlaku pada bulan Oktober lalu.

Ketua Makmal Keselamatan Amnesty International, Donncha O Cearbhaill berkata, penemuan terbaharu itu menunjukkan bahawa semakin hari wartawan di India menghadapi ancaman pengawasan yang menyalahi undang-undang.

“Ancaman itu semata-mata kerana wartawan melakukan kerja mereka, di samping kaedah penindasan lain termasuk pemenjaraan di bawah undang-undang kejam, kempen fitnah, gangguan dan ugutan,” katanya.

Berhubung pendedahan itu, kerajaan India hanya menafikan tuduhan serupa dibuat pada 2021 bahawa pihaknya menggunakan perisian pengintipan Pegasus untuk mengawasi seteru politik, aktivis dan wartawan.

Menurut laporan media India bulan lalu, unit keselamatan siber negara itu sedang menyiasat dakwaan ahli politik pembangkang tentang mencuri dengar perbualan telefon selepas mereka melaporkan menerima amaran Apple iPhone mengenai ‘penyerang tajaan kerajaan’.

Dalam kes itu, Menteri Maklumat dan Teknologi India, Ashwini Vaishnaw berkata, kerajaan “prihatin” dengan aduan itu.

 

Sumber: AFP

Foto: Deutsche Welle (DW)

72-peratus-pekerja-enggan-diganggu-majikan-selepas-waktu-kerja Previous post 72 peratus pekerja di Jepun enggan diganggu majikan selepas waktu kerja
Next post Jakarta laksana pemberian vaksin Covid-19 berbayar mulai 1 Januari 2024