KUALA LUMPUR: Nadiah Wan, ahli perniagaan wanita berusia 37 tahun disenaraikan dalam Power Businesswomen 2021 Forbes Asia, yang mengiktiraf 20 pemimpin perniagaan wanita cemerlang di rantau Asia Pasifik.
Menurut Forbes, Nadiah, yang memegang dua jawatan CEO adalah tokoh paling muda disenaraikan tahun ini.
“Ahli perniagaan wanita di rantau Asia Pasifik terus memecah halangan, dan dalam beberapa kes, mengembangkan perniagaan mereka di sebalik pandemik,” kata pengarang Power Businesswomen 2021 Forbes Asia, Rana Wehbe Watson, dalam satu kenyataan, hari ini.
Watson berkata, senarai Power Businesswomen 2021 Forbes Asia tahun ini mengiktiraf 20 pemimpin cemerlang yang berjaya mengadaptasi dan berkembang dalam industri seperti teknologi, penjagaan kesihatan, perbankan serta pembuatan.
“Mereka memimpin jalan ketika dunia bergelut dengan realiti pasca COVID-19,” katanya.
Watson berkata, semua ahli perniagaan wanita yang disenaraikan tahun ini adalah pendatang baharu, sekali gus memperluaskan lagi rangkaian tokoh terkemuka Forbes Asia di rantau ini.
“Mereka dipilih di atas pencapain menguruskan perniagaan dengan pendapatan yang besar atau syarikat pemula bernilai lebih AS$100 juta,” katanya.
Nadiah, satu-satunya rakyat Malaysia yang disenaraikan tahun ini, adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences, jawatan yang dipegang sejak 2019.
Beliau juga adalah CEO Thomson Hospital Kota Damansara, jawatan yang dipegang sejak 2017.
Nadiah memperkenalkan pasukan petugas COVID-19 di hospital itu dan melancarkan aplikasi mudah alih, menyediakan penjagaan pesakit menyeluruh dari jauh menerusi temu janji, saringan dan penilaian hinggalah perkhidmatan rehabilitasi dan penghantaran ubat-ubatan.
Penutupan sempadan menjejaskan pelancongan perubatan dan unit kesuburan yang merangkumi 20 peratus pendapatan TMC.
Namun, syarikat senaraian awam itu meraih pendapatan RM201 juta, meningkat enam peratus bagi tahun kewangan berakhir Jun, dengan keuntungan bersih meningkat 86 peratus kepada RM20 juta, terutama disebabkan liabiliti cukai tertangguh.
Pelan pengembangan TMC termasuk menggandakan kapasiti hospital kepada 600 katil dan menambah dua makmal kateter, 154 klinik pesakit luar, 11 suite penghantaran dan 10 bilik pembedahan.
Senarai lengkap 20 wanita berkenaan, berusia antara 30-an hingga 70-an di seluruh rantau Asia Pasifik boleh didapati di www.forbes.com/asiapowerbusinesswomen2021 dan Forbes Asia keluaran November.
-BERNAMA