JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) hari ini membuat keputusan untuk mengharamkan penggunaan aset kripto sebagai mata wang dalam kalangan umat Islam.
Ia menganggap mata wang kripto sebagai haram atau dilarang kerana memiliki elemen tidak menentu, pertaruhan dan mendatangkan mudarat, kata pemimpin MUI, Asrorun Niam Sholeh, selepas majlis itu mengadakan satu pendengaran pakar.
Jika mata wang kripto sebagai komoditi atau aset digital boleh mematuhi rukun Syariah dan menunjukkan manfaat yang jelas, maka ia boleh diniagakan, tambahnya.
MUI adalah pihak berkuasa pematuhan Syariah di negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia itu, dengan Kementerian Kewangan dan bank pusat kebiasaannya mendapatkan nasihat daripada mereka berhubung isu-isu kewangan Islam.
Kerajaan Indonesia sebelum ini menyokong aset kripto, membenarkannya diniagakan bersama kontrak hadapan komoditi sebagai pilihan pelaburan, malah berusaha menubuhkan bursa kripto menjelang akhir tahun ini.
Indonesia tidak membenarkan penggunaan aset kripto sebagai bentuk mata wang, kerana rupiah adalah satu-satunya mata wang sah di negara itu.

Walaupun keputusan MUI tidak bermakna dagangan mata wang kripto akan dihentikan di Indonesia, fatwa itu akan menghalang orang Islam daripada melabur dalam asetnya dan membuatkan institusi tempatan mempertimbangkan semula untuk menerbitkan aset kripto.
Bank Indonesia bercadang untuk memperkenaklan mata wang digital bank pusat, namun belum ada keputusan dibuat.
Transaksi kripto berjumlah AS$26 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini di Indonesia, masih kecil berbanding pasaran global sekitar AS$3 trilion.
Pendirian pemimpin agama Indonesia itu berbeza daripada negara majoriti Muslim lain.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) membenarkan dagangan kripto di zon bebas Dubai, manakala Bahrain menyokong aset kripto sejak 2019.
Sumber: Bloomberg