WASHINGTON: Salah seorang diplomat ‘Pahlawan Serigala’ yang paling terkenal di China semalam diumumkan sebagai duta baharu negara itu ke Amerika Syarikat (AS).
Qin Gang yang agresif dan juga orang kepercayaan Presiden Xi Jinping, tiba di AS ketika ketegangan meningkat antara Washington dan Beijing.
Gang terkenal melalui tugasnya sebelum ini sebagai jurucakap kementerian luar apabila sering memberikan jawapan tidak masuk akal kepada wartawan asing dan merintis gaya agresif dalam mempertahankan China di media dan media sosial.
Itu menyebabkannya mendapat jolokan diplomat ‘Pahlawan Serigala’ yang bermaksud diplomat yang mengamalkan diplomasi agresif.
“Sebagai dua negara besar yang berbeza dari segi sejarah, budaya, sistem sosial dan tahap pembangunan, China dan AS memasuki babak baru melalui penerokaan, pemahaman dan penyesuaian serta berusaha mencari jalan untuk bersama antara satu sama lain,” kata Gang kepada pemberita ketika ketibaannya.
Menurut transkrip yang dikeluarkan oleh kedutaan China, beliau yang pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Luar daripada 2018-2021, berjanji untuk membawa hubungan AS-China kembali ke landasannya.
Gang melalui akaun rasmi Twitter berkata, beliau akan memulakan tempoh kuarantin selama 14 hari di kediaman dan akan segera bertugas.
Hubungan AS-China merosot dalam beberapa tahun kebelakangan, dengan kedua-dua kuasa itu bertentangan dalam pelbagai isu termasuk perdagangan, hak asasi manusia, keselamatan siber dan punca pandemik COVID-19.
Walaupun Presiden Joe Biden merendahkan nadanya dalam hubungan AS-China sejak memegang jawatan, beliau tetap mempertahankan pendirian pendahulunya, Donald Trump terhadap China, dengan menggambarkannya sebagai cabaran utama bagi AS.
Gang, yang menemani Jinping dalam banyak tugasan ke luar negara sebagai ketua protokol kementerian luar, adalah antara diplomat yang mempertahankan China dengan bersungguh-sungguh dalam menghadapi kritikan yang semakin meningkat di pentas dunia.
Beliau yang memulakan kariernya dalam bidang diplomatik pada tahun 1988, dianggap lebih baik daripada pendahulunya di Washington, Cui Tiankai.
Gang menghabiskan beberapa tahun di Kedutaan Besar China di London, dan fasih berbahasa Inggeris.
– AFP via Berita Harian