GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memerlukan AS$23.4 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang, bagi membiayai perancangan digariskan agensi itu untuk menangani COVID-19.
Justeru, agensi bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menggesa negara kuasa global G20 supaya menunjukkan teladan kepimpinan dengan tampil untuk menyumbang.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata negara miskin tidak boleh lagi dibiarkan terus menderita akibat pandemik itu.
Beliau menjelaskan, wang itu adalah untuk menampung keperluan vaksin, ujian saringan dan rawatan – sekali gus berpotensi mencegah lima juta lagi kematian dalam krisis terbabit.
“G20 berupaya memberi komitmen kewangan dan politik yang diperlukan untuk menamatkan pandemik ini.
“Kita sedang berada pada detik penentuan yang menuntut kepemimpinan tegas untuk menjadikan dunia ini lebih selamat,” kata Tedros pada sidang media, semalam.
Ketika ini, WHO menerajui inisiatif Akses kepada Pemacu Peralatan COVID-19 (ACT-Accelerator) yang menyasarkan pembangunan, pengeluaran, perolehan serta pengagihan peralatan untuk menangani pandemik itu.
WHO menyifatkan dana AS$23.4 bilion yang diperlukan untuk membiayainya sebagai ‘tidak seberapa berbanding kerugian ekonomi hingga trilion dolar akibat pandemik itu dan kos pelan rangsangan bagi menyokong pemulihan negara.
“Membiayai sepenuhnya ACT-Accelerator adalah satu keperluan keselamatan kesihatan global bagi kita semua – masa untuk bertindak ialah sekarang,” kata Tedros.
Bagaimanapun, gesaan itu dikhuatiri menerima nasib sama dengan usaha sebelum ini yang cuba membuatkan negara kaya berasa malu atas jurang semakin lebar antara mereka dengan negara miskin dari segi tahap perlindungan terhadap ancaman COVID-19.
WHO memaklumkan setakat ini, hanya 0.4 peratus ujian saringan dan 0.5 peratus dos vaksin telah digunakan di negara miskin yang membentuk 9 peratus daripada populasi dunia.
Agensi itu berkata, perancangannya termasuklah beralih kepada fokus lebih bersasar dalam menangani jurang bekalan terbabit di negara miskin. – AFP
Sumber: Berita Harian