KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Sebuah konsert amal bagi mengenang jasa pemuzik lagenda tanah air, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus akan berlangsung pada 11 Mei 2025 di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang.
“Seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai,” ujar Dato’ Freddie ketika mengenang pemuzik dan rakan seperjuangannya, Jay Jay yang telah meninggal dunia pada 4 Ogos 2024 dalam usia 67 tahun pada sidang media khas mengumumkan konsert berkenan.
Menurut beliau, anak bongsu arwah, Nur Camelia atau lebih dikenali sebagai Cammy, telah menghubunginya dan menyuarakan hasrat agar diadakan satu persembahan penghargaan bagi mengenang jasa dan sumbangan arwah dalam dunia seni tanah air.
Menyahut seruan ini, para karyawan dan sahabat-sahabat seni yang pernah bersama Jay Jay telah berganding bahu menganjurkan sebuah malam istimewa bertemakan “Malam Rindu Bayangan”.
Acara ini dijadualkan berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025, bermula jam 8.00 malam di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang. la merupakan sebuah persembahan amal makan malam selama tiga jam, yang menampilkan gabungan artis-artis hebat tanah air —ramai antaranya merupakan sahabat rapat Allahyarham Jay Jay.
Para artis utama yang akan membuat persembahan ialah Dato’ Ramli Sarip ,Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta barisan asal kumpulan Carefree yang pernah bersama Jay Jay dalam detikdetik gemilangnya.

Pra persembahan penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah akan menyampaikan beberapa buah lagu. Persembahan akan diiringi oleh para pemuzik maestro tanahair seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Firdaus dan lain-lain.
Selain persembahan pentas, malam tersebut turut akan menyaksikan jualan amal lukisan penghargaan oleh pengkarya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots), yang akan dijual secara bida, serta penampilan istimewa saudara Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arahan seni album arwah sepanjang kariernya.
Segala kutipan hasil malam amal ini akan disumbangkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan. Sebagai simbolik permulaan, pada hari sidang medic ini juga, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima utama yang amat memerlukan bantuan dan sokongan moral iaitu: Shuib (Freedom), Ramiah (balu kepada Allahyarham Yazit, pemain dram kumpulan Search), dan Ali (XPDC).
Orang ramai, para peminat setia Jay Jay, serta peminat barisan artis terlibat, diiemput hadir dan menyokong acara ini. Sokongan boleh disalurkan melalui pembelian meja untuk 10 orang pada harga RM1,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000. Bagi yang ingin hadir secara individu, tiket berharga RM150 turut disediakan namun terhad kepada hanya 100 tempat sahaja – siapa cepat, dia dapat.
Ini merupakan satu peluang yang amat berbaloi untuk menikmati persembahan lvar biasa barisan artis terbaik negara sambil menjamu selera dan beramal dalam suasana penuh kenangan.
Untuk tempahan meja, pembelian tiket, tajaan atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400.
“Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua,” ujar Dato’ Freddie menutup bicara.