BERSATU Wilayah Persekutuan menderma 300 kotak sumbangan berbentuk makanan dan wang ringgit kepada asnaf pada program ‘Iftar Badan Pimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan’ yang berlangsung di Hotel Tamu, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat, 7 April lalu.
Program berbuka puasa itu bertujuan menyantuni lebih 300 golongan asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan dengan sumbangan diserahkan menerusi 130 penerima.
“Tujuan program itu diadakan adalah bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan memberi sumbangan di bulan Ramadan”, demikian dalam satu kenyataan kepada media.
Turut hadir Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Sayap Bersekutu Malaysia, Datuk Dr. Chong Fatt Foo
Sementara itu, turut berlangsung penyerahan watikah perlantikan pegawai perhubungan baharu jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri (BPN) yang dijangka memberi impak positif kepada gerak kerja Bersatu Wilayah Persekutuan.
Ketua Bersatu Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Haji Ismaill dilantik Setiausaha Negeri baharu, Ketua Bersatu Cheras, Zamzuri Muhammad dipilih sebagai Bendahari manakala jawatannya sebelum ini selaku Ketua Penerangan digalas oleh Ketua Bersatu Segambut, Mahathir Mohd Rais.

Badan Pimpinan Negeri Bersatu Wilayah Persekutuan turut bersetuju Ketua Sayap bersekutu Segambut, Datuk Datuk Simon Suresh V untuk dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Negeri baharu.
Dalam pada itu, Bersatu Segambut dan Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan meneruskan tradisi tahunan mengagihkan 1,500 bubur lambuk dalam menyemarakkan semangat perpaduan.
Perkarangan pejabat Bahagian Bersatu Segambut dipenuhi kereta, motor orang ramai bagi menerima juadah berbuka puasa itu yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan.