PETALING JAYA: Data peribadi kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera berisiko dimanipulasi sindiket jenayah antarabangsa untuk kegiatan pemalsuan dokumen dan pelbagai penipuan lain.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber polis Bukit Aman memberitahu, maklumat-maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal dalam MySejahtera dipercayai dimuat naik di jaringan pelayan awan milik sebuah syarikat swasta.
Malah katanya, data-data yang disimpan di clouding web dipercayai berisiko tinggi digodam pihak lain untuk dimanipulasi bagi kegiatan jenayah.
“Jika maklumat-maklumat tersebut terdedah kepada pihak lain, ia boleh digunakan untuk tujuan jahat seperti jenayah.
“Antaranya boleh disalah guna oleh sindiket pemalsuan dokumen, scammer seperti penipuan dalam talian, penjualan sijil vaksinasi dan pelaburan tidak wujud dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut sumber itu, maklumat yang dimuat naik di pelayan awam syarikat yang memiliki aplikasi tersebut berkemungkinan besar boleh digodam pihak tertentu.
Sehubungan itu, jelasnya, pihak kerajaan perlu memastikan data-data peribadi yang disimpan dalam aplikasi tersebut selamat agar tidak terlepas ke tangan pihak luar.
“Walaupun baru-baru ini kementerian berkenaan ada menyatakan maklumat itu disimpan di pangkatan data di negara ini persoalannya adakah pihak lain tidak mempunyai salinan maklumat di MySejahtera itu?
“Dan pada tahap mana selamatnya data-data tersebut selain memastikan ia tidak disalah guna pihak lain,” soalnya.
Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan pengkalan data yang menyimpan segala maklumat daripada penggunaan aplikasi MySejahtera berada di Malaysia dan bukannya di Singapura seperti didakwa sesetengah pihak.
Menterinya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, secara spesifiknya pengkalan data terbabit berada di AIMS Data Centre yang terletak di Kuala Lumpur dan bukannya luar negara.
“Transaksi data daripada MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awam setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan MySejahtera serta aplikasi sokongan berkaitan pandemik Covid-19, seperti modul vaksinasi dan sebagainya,” katanya.
Mengulas pemilihan syarikat Singapura untuk menguruskan MySejahtera, Khairy dilaporkan memaklumkan, pemegang saham terbesar syarikat Entomo Pte. Ltd, yang memiliki Entomo Malaysia Sdn. Bhd. (sebelum ini KPISOFT (M) Sdn. Bhd.), adalah rakyat Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia berkenaan memilih untuk menjalankan oeprasi di Singapura kerana lebih mudah mendapatkan pelaburan bagi syarikat teknologi berbanding di Malaysia. — Utusan Malaysia