KWSP mengumumkan permohonan pengeluaran RM10K hanya melalui portal khas ini. Permohonan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya boleh dibuat melalui portal pengeluaran khas.
Menerusi kenyataan Facebook rasmi, KWSP berkata, untuk memastikan kelancaran urusan permohonan, pencarum perlu memastikan nombor telefon bimbit terkini berdaftar dengannya.
Pencarum juga perlu memastikan nombor akaun bank aktif dan akaun di atas nama sendiri, bukannya akaun bersama atau akaun syarikat.
Ahli KWSP juga perlu menyemak baki simpanan.
Menurutnya, ahli yang tidak boleh mempunyai akaun bank boleh memilih arahan bayaran sebagai kaedah bayaran.
KWSP berkata, soalan lazim pengeluaran khas akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Sebelum ini KWSP berkata, permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun akan bermula 1 April ini dan berakhir pada hujung bulan depan.
Tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.
Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, selain perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.
Pengeluaran Khas ini merupakan pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi. Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran tersebut.
Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas. KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara.
Nantikan maklumat terkini dari facebook rasmi dan laman sesawang KWSP.
Iklan