KUALA LUMPUR: Penawaran rangkaian 5G di Malaysia berjaya ditawarkan secara rasmi bermula hari ini oleh oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Pelancaran ini selari dengan perancangan untuk meningkatkan taraf kelajuan internet buat rakyat Malaysia.

Perkhidmatan rangkaian 5G bakal diperkenalkan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada tahun pertama, sebelum secara berperingkat-peringkat diperluaskan sehingga mencapai 36 peratus liputan di seluruh negara.

Pada tahun hadapan, pelancaran 5G akan diperluaskan di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk termasuk Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dua hari sebelum rangkaian 5G dilancarkan memberitahu, perkhidmatan 5G adalah pencetus perubahan untuk ekonomi masa hadapan, kerana ia membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan dalam pelbagai kegiatan berteknologi tinggi.

Katanya, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang sedang berjalan, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bakal diwujudkan untuk memastikan rakyat mempunyai platform mengikuti perkembangan teknologi digital yang terbaharu, atau menjalankan perniagaan secara e-dagang.

“Semua ini mesti dimanfaatkan oleh rakyat. Sebab itu KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), turut akan membuka PEDi di Rumah Prihatin di sini bagi melatih penduduk ibu kota menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi digital.

“Ini bersesuaian dengan hasrat kita menggalakkan mereka memulakan semula aktiviti ekonomi atau program-program penjanaan pendapatan, selari dengan peralihan negara menuju ke arah endemik,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian bantuan Deepavali Rumah Prihatin kepada kira-kira 200 buah keluarga di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, 8 November lalu.

Bagi kawasan yang terpilih untuk peringkat awal ini, rakyat kini berpeluang menikmati kelajuan internet sekurang-kurangnya 100Mbps berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kendalian sebelum ini iaitu Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah firma yang bertanggungjawab berkaitan rangkaian 5G tempatan.

Selain itu, SKMM turut mahu mula mengawal selia perkhidmatan awan daripada syarikat penyedia bermula 1 Januari 2022.

Sumber: The Vocket, Astro Awani

Previous post Agensi MOSTI, MaGIC-TPM kini digabungkan menjadi MRANTI
Next post MAJLIS PELANCARAN JERSI BAHARU PASUKAN RAGBI KEBANGSAAN AL IKHSAN x MALAYSIA RUGBY