KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (MMJA) memandang serius serta mengecam tindakan pihak berkuasa menyekat akses tanpa notis dan sebab ke atas portal berita dalam talian TV Pertiwi dan beberapa portal lain sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia, Nik Suryani Megat Deraman berkata, tindakan itu bercanggah dengan tema sambutan Hari Kewartawanan Nasional HAWANA 2023 pada Mei lalu di mana Perdana Menteri dan kerajaan telah memberi jaminan kebebasan media kepada pengamal media di negara.

“Tindakan ini juga bercanggah dengan tema “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” semasa sambutan Hari Kewartawanan Nasional HAWANA 2023 pada Mei lalu di mana YAB Perdana Menteri dan kerajaan telah memberi jaminan kebebasan media kepada pengamal media di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kenyataan Media Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia

 

Jelasnya tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media.

“Tindakan seperti ini juga dikhuatiri akan menjejaskan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media yang kini sudah berada di kedudukan 73 daripada 180 negara dengan skor 62.83”, katanya.

Justeru, Persatuan sekali lagi memohon pihak berkuasa agar menghormati serta memastikan pengamal media di negara ini di beri kebebasan dalam menjalankan tugas dengan berlandaskan etika kewartawanan sedia ada, selaras dengan jaminan dan dasar Kerajaan Perpaduan.

Portal berita TV Pertiwi disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), hanya dua hari selepas akaun TikToknya disekat kata Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi, Mohd Firdaus Salleh Hud kepada The Malaya Post.

Kenyataan TV Pertiwi disekat SKMM. Foto: Facebook TV Pertiwi.

Beliau menyifatkannya sebagai detik hitam dalam pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim meskipun seriang melaungkan kebebasan media dan kebebasan bersuara.

Selain MMJA, Kumpulan pengamal media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga turut mengecam tindakan SKMM menyekat akses ke atas TV Pertiwi, dengan menyatakan sebarang bentuk sekatan ke atas portal berita dalam talian adalah ancaman kepada kebebasan akhbar negara.

Dalam satu kenyataan, Geramm berkata, sebarang pertikaian melibatkan etika media perlu diselesaikan secara kendiri, telus dan bebas, seiring langkah penubuhan Majlis Media Malaysia yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang pertama tahun depan. 

“Geramm juga mengulangi pendirian bahawa pihak SKMM perlu memaklumkan pihak pengurusan media sebelum sebarang tindakan sekatan dikenakan,” katanya lapor Malaysianow.

“Selain itu, syarikat telekomunikasi serta pembekal perkhidmatan Internet (ISP) boleh memberikan penjelasan terkait langkah diambil setelah menerima arahan dari SKMM untuk menyekat akses kepada sebarang portal berita.”

Sekatan ke atas TV Pertiwi hadir beberapa hari selepas akaun TikTok mereka disekat secara kekal.

Tindakan terbaru ini adalah rentetan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa laman sesawang dan saluran media sosial sejak beberapa bulan kebelakangan ini. 

Pada akhir Jun, MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, mengatakan beliau tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman sesawang. 

Kenyataan Malaysia Today. Foto: Facebook Malaysia Today

Pada masa sama, akses ke laman sesawang MalaysiaToday yang dikendalikan oleh penulis blog terkemuka dan pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin turut disekat, manakala blog bekas ahli Parlimen Wee Choo Keong pula disekat pada 24 Jun, dengan adan pemantau kebebasan media dalam talian, Sinar Project mengesahkan bahawa laman sesawang dikendalikan Wee itu telah disekat oleh SKMM. 

Portal berita UtusanTV yang dikendalikan oleh bekas kakitangan syarikat media Utusan Melayu turut disekat SKMM, walaupun difahamkan sekatan itu ditarik balik sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos.

 

Sumber: The Malaya Post, Malaysia Now

Previous post Syarikat tempatan jana RM10 juta potensi jualan di pasaran Asia Barat
Next post German MEP Urges Citizens Worldwide To Peacefully Disobey Covid Tyranny