SEGAMBUT, 24 Mac 2022 – Adakah ahli Parlimen berhasrat untuk menggalakkan perkembangan ekstremis dan radikalisasi dengan berusaha untuk memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)?
Persoalan ini diutarakan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Segambut, Mahathir Hj Mohd Rais dalam satu kenyataan yang dihantar kepada SUKSES News.
Menurut beliau, pihak yang tidak bersetuju dengan SOSMA 2012 atau tidak menyokong akan usul melanjutkan sub-seksyen 4(5) itu merupakan golongan yang ingin membuka ruang kepada penjenayah dan pengganas berkuasa.
“Apa yang jelas ialah SOSMA kekal relevan untuk membendung aktiviti seseorang atau ekstrenis yang mahu mengguling atau melemahkan negara termasuklah keganasan terancang, perasaan tidak setia kepada DYMM Yang Dipertuan Agong dan boleh memudaratkan ketenteraman awam.
“Sebagai ahli Parlimen yang bertanggungjawab, mereka seharusnya menyokong serta memberikan ruang dan sokongan yang secukupnya kepada pihak PDRM dalam melaksanakan peranan mereka dalam penggubalan undang undang,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kes yang melibatkan kesalahan Sosma yang disiasat selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa seperti Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah.
Tambahnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ini adalah mekanisma terbaik dalam menangani ancaman keselamatan.
“SOSMA sebenarnya jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bahkan, SOSMA diperkenalkan bagi menggantikan ISA yang zalim dan kerap disalahgunakan oleh kerajaan untuk menangkap musuh politik.
“Sekatan sedia ada dalam akta belum cukup jelas untuk menghalang salah guna akta untuk kepentingan politik dan peribadi,” katanya lagi.
Beliau juga mengingatkan, perlu jaminan dan sekatan agar akta itu tidak digunakan untuk tujuan politik atau apa-apa tujuan yang berkaitan tidak berkaitan dengan isu keselamatan dan keganasan.
“Jika boleh pihak kerajaan harus berusaha untuk mengusul semula pada sesi khas berkenaan tempoh kuatkuasa subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 ini perlu dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 31 Julai 2022.
“Usaha penyelidikan dan risikan berkaitan keganasan perlu lebih maju bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dalam membuat penangkapan dan penahanan,” tegasnya.