SHAH ALAM – Permintaan tinggi barang kemas berasaskan emas secara jualan atas talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 mendorong Zahardi Arman Zakaria memulakan perniagaan dengan membuka kedai fizikal.
Menurut Zahardi, pengarah eksekutif Armel Gold, Zahardi Arman Zakaria, jualan barang kemasnya melonjak 10 kali ganda ketika PKP dengan pemasaran dilakukan melalui media sosial seperti Facebook.
“Permintaan datangya dari seluruh negara atas nama Smart Bullion Sdn.Bhd.
“Kita sebagai pembekal emas memutuskan untuk membuka kedai fizikal setelah mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi lain kerana yakin mampu menawarkan produk emas termurah di Malaysia,”katanya.
Zahardi Arman berkata, pihaknya menyasarkan jualan barang kemas sebanyak 100 kilogram sebulan pada masa hadapan berbanding 30 kilogram sejak bulan November lalu.

Beliau berkata, barangan kemas seperti rantai tangan sauh, biskut tawar, roti ban, rantai tangan koko lipan dan rantai leher boba serta emas nuget satu gram menjadi pilihan peminat barang kemas.
“Produk berasaskan emas menjadi rebutan rakyat negara ini walaupun keadaan ekonomi dunia agak perlahan akibat pandemik Covid-19.
“Barang kemas seperti emas sukar untuk mengalami susut nilainya dan menjadi pilihan rakyat negara ini sebagai barangan perhiasan atau pelaburan,” kata beliau.
Zahardi berkata, pihaknya kini mempunyai kedai di Shah Alam sebelum bakal diikuti pula kedai lain.
Beliau yang merasakan masa depan industri kekal cerah, bercadang membuka cawangan di seluruh negara termasuk di Bandar UDA Johor Bahru dan Bandar Perda Bukit Mertajam Pulau Pinang.
Sumber: BebasNews