PETALING JAYA – Agrobank bekerjasama dengan Lembaga Zakat Kedah (LZK) dan Hayat Teras Maju telah melancarkan Program Hijrah Asnaf Ruminan dengan melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM120,000.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin ber­kata, program berstruktur yang melibatkan lapan orang anak muda di Kuala Nerang itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai latihan kemahiran berkaitan penjagaan haiwan dan perniagaan, asas pengurusan kewangan dan pemasaran digital.

Menurut beliau, program yang memerlukan pemantauan perniagaan selama enam hingga­ 12 bulan itu diharap dapat me­ningkatkan kecekapan dan ­pengetahuan perniagaan dalam kalangan anak muda asnaf ter­utamanya di kawasan pedalaman.

“Ia merupakan program pembangunan asnaf yang pertama melibatkan industri ruminan, yang mana ia adalah usaha kami untuk meramaikan penglibatan usahawan terlatih dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Ahmad Badli me­nerangkan, melalui program tersebut, LZK telah mem­bantu dalam mengenal pasti dan ­menyediakan senarai peserta Asnaf yang berpotensi untuk mengikuti program tersebut.

Hayat Teras Maju pula berpe­ranan terhadap aspek latihan dan pengalaman sebenar dalam menguruskan perusahaan ternakan dan sekali gus membuka peluang keusahawanan kepada golongan asnaf dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Tambah beliau, melalui pe­ngagihan zakat, setiap peserta akan diberikan bantuan berupa dua ekor lembu untuk fasa pertama selama tiga bulan.

“Hasil jualan daripada dua ekor lembu itu digunakan untuk membeli 10 ekor kambing termasuk dua ekor baka untuk diuruskan bagi fasa seterusnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Agrobank telah bekerjasama dengan beberapa pihak yang berkaitan seperti Maj­lis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan Universiti Malaysia Terengganu.

Bank juga turut bekerjasama dengan beberapa syarikat teras seperti APT Sdn. Bhd. untuk Bomb Burger dan Ekza Food Resources untuk program Jom Sate.

Previous post Banyak penternak ayam bakal gulung tikar
Next post AEON Malaysia naikkan gaji minimum pekerja kepada RM1,500