KUALA LUMPUR, 10 Mei — Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) tidak bercadang untuk mengurangkan pekerja, sebaliknya, akan terus menawarkan pekerjaan bagi menyokong aspirasi dan rancangan pertumbuhannya di sebalik kebimbangan mengenai status pekerja Tesco Malaysia setelah diambil alih syarikat itu.

Presidennya Kenneth Chua berkata syarikat itu akan mengambil 200 pekerja tempatan baharu di pusat pengedarannya di Bukit Beruntung, Selangor untuk memperkukuhkan lagi komitmennya dalam mewujudkan pekerjaan di negara ini.

“Pandemik ini telah menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan bagi menyokong inisiatif kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan kepada rakyat Malaysia, kami menawarkan 200 jawatan tetap di pusat pengedaran kami di Bukit Beruntung,” katanya.

Beliau menambah, pusat pengedaran di Bukit Beruntung dan Simpang Pulai, Perak telah dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak November 2020 sebagai respons kepada seruan kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan kepada rakyat Malaysia berikutan kadar pengangguran yang tinggi disebabkan pandemik COVID-19.

Lotus’s Malaysia mengambil alih Tesco Malaysia pada Disember 2020 dan mengendalikan semua operasi cawangan Tesco sedia ada.

— BERNAMA

Previous post Tidak ramai tahu Dalila hasilkan songkok jenama terkenal Bandar Diraja
Next post Israel lakukan ‘Jenayah Perang’ di Baitulmaqdis