KUALA LUMPUR, 8 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletak sasaran melahirkan 15,000 usahawan baharu yang kompeten dalam kalangan bumiputera menjelang 2025 menerusi Pelan Strategik MARA (PSM) 2021-2025.

Sasaran itu selari dengan teras pertama PSM iaitu membangunkan komuniti usahawan yang dinamik dan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, pihaknya komited melahirkan sekurang-kurangnya 3,000 usahawan setiap tahun menjelang 2025 dan menggalakkan mereka menceburi bidang baharu, selari dengan peredaran zaman berteknologi kini.

Ujarnya, bagi memenuhi kehendak pasaran semasa, pihak MARA juga telah selangkah ke hadapan dengan mencari peluang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat industri digital seperti Macro Tech Venture Sdn. Bhd., seterusnya memudahkan usahawan baharu memulakan perniagaan mereka.

“Dalam membangunkan usahawan baharu, kita juga tidak meminggirkan usahawan sedia ada. Kita akan membantu lebih 50,000 usahawan sedia ada yang terjejas akibat pandemik terutamanya dalam bidang automotif, makanan dan minuman, perkhidmatan serta pembinaan supaya mereka tetap dapat meneruskan perniagaan.

“Ini adalah penting bagi memastikan syarikat tersebut dapat terus berdaya saing dan mampan walaupun dalam suasana krisis pada ketika ini.

“Selain itu, kita berikan juga bantuan kursus penggunaan aplikasi dalam talian dalam usaha mengembangkan pasaran perniagaan mereka sekali gus mempersiapkan mereka dalam era digitalisasi. Kita juga akan terus melaksanakan pinjaman bagi usahawan bumiputera,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan PSM 2021-2025 di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman.

AZHAR Abdul Manaf menyerahkan Buku Pelan Strategik MARA 2021-2025 kepada Azizah Mohd. Dun sebagai simbolik pelancaran di Kuala Lumpur. Foto; Twitter MARA

Menurut Azizah, selain pembangunan usahawan, pelan strategik tersebut turut dirangka untuk memperkasa ekonomi bumiputera menerusi tiga lagi teras iaitu menyumbang sumber tenaga manusia yang holistik, mempertingkat pelaburan strategik berteras keusahawanan, pendidikan dan perkhidmatan serta memantapkan sistem penyampaian dan tadbir urus.

Kata beliau, MARA akan melahirkan golongan profesional di samping menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dengan memperkasa teknikal, pendidikan vokaisonal dan latihan (TVET) seterusnya memperluas penglibatan bumiputera dalam bidang berimpak tinggi dan meneraju penajaan pendidikan bumiputera secara inklusif.

“Dari segi pelaburan, kita akan meneroka peluang pelaburan berpotensi dalam industri strategik bagi mempertingkat rantaian nilai industri, memperkukuh inisiatif aset bukan kewangan dan memperkukuh jaringan hubungan antara luar bandar.

“Dalam pada itu, MARA juga akan memperkukuh integriti tenaga kerja dan mengadakan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi memastikan tenaga kerja MARA mempunyai ilmu digital selaras dengan keadaan semasa yang mengutamakan digitalisasi,” tambahnya. – UTUSAN

Pelan Strategik MARA 2021-2025

MARA merencana strategi pelan jangka panjang melalui Pelan Strategik MARA (PSM) 2021-2025 merangkumi dimensi baharu teras, strategi dan keberhasilan (outcome) program dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara.

Pelan strategik ini memberi penekanan kepada 4 Teras utama yang meliputi empat (4) sektor MARA iaitu Keusahawanan, Pendidikan, Pelaburan dan Khidmat Pengurusan, 17 strategi merangkumi keseluruhan sektor tersebut serta 22 indikator keberhasilan (outcome).

Usaha ini dipacu oleh sektor khidmat pengurusan yang menggerakkan operasi MARA di dalam dan luar negara.

Setakat Disember 2020, MARA mempunyai sebanyak 573 pusat pentadbiran dengan keseluruhan warga kerja berjumlah 18,876 orang.

Bermula tahun 1996 hingga kini, MARA telah menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan kepada 256,777 usahawan dan seramai 836,347 usahawan telah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Keusahawanan MARA.

Manakala Sektor Pendidikan pula telah menyediakan program pengajian yang bersepadu dan komprehensif daripada peringkat menengah hingga tertiari bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama dan bertaraf global.

Bagi tempoh lima tahun ini (2015 hingga 2020), MARA telah menyumbang sebanyak 276,965 tenaga kerja dengan kebolehpasaran sebanyak 92.7 peratus.

Datuk Azizah berkata, selama lebih lima dekad, MARA komited membawa agenda ke arah membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dan bergerak selari dengan agenda serta dasar semasa kerajaan.

Ujarnya, MARA juga terus berubah mengikut perkembangan teknologi serta tuntutan globalisasi dan berupaya memenuhi aspirasi bumiputera.

“PSM 2021-2025 digubal selaras dengan dasar dan aspirasi negara ke arah memperkasa program bagi menjamin bumiputera terus berupaya mendepani cabaran semasa di samping menghadapi pandemik Covid-19.

“Ia menitikberatkan tanggungjawab yang perlu digalas serta tindakan-tindakan strategik yang perlu diambil bagi memastikan matlamat penubuhan MARA tercapai,” katanya dalam Majlis Pelancaran PSM 2021-2025 di sini, kelmarin. – UTUSAN

Previous post TEKUN Nasional lulus RM8.5 juta pinjaman SPIN kepada 1,345 usahawan
Next post Program TV AlHijrah Bincang Niaga 2021 teruskan inisiatif bantu usahawan melalui pakej mampu mlik