KUALA LUMPUR – Zurich Malaysia melantik Nazrul Hisham Abd Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) berkuat kuasa serta merta.

Nazrul Hisham menggantikan Mukesh Dhawan yang meletakkan jawatan.

Sebelum ini, beliau adalah CEO bagi Zurich General Takaful Malaysia Bhd (Zurich General Takaful) dan susulan pelantikan itu, pengganti beliau bagi perniagaan takaful am akan diumumkan kelak, menurut Zurich Malaysia dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau akan melapor kepada Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho mengenai tanggungjawab baharunya termasuk menerajui keutamaan strategik untuk mengembangkan dan mengukuhkan perniagaan takaful keluarga Zurich.

Nazrul HIsham memiliki pengalaman lebih 25 tahun, dengan lebih sedekad dalam industri takaful meliputi jualan dan operasi takaful keluarga dan takaful am.

Cho berkata, Zurich Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Mukesh atas komitmen dan sumbangan beliau dalam membina perniagaan insurans hayat dan takaful keluarga sejak menyertai syarikat pada Januari 2015.

Pada masa sama, pelantikan Nazrul Hisham sebagai CEO Zurich Takaful dialu-alukan memandangkan ia merupakan sebahagian perancangan penggantian dan untuk memupuk bakat kepimpinan tempatan.

“Beliau mengukuhkan kehadiran jenama Zurich General Takaful dan berjaya mengembangkan perniagaan walaupun berdepan cabaran pandemik.

“Saya ingin melihat beliau mengetuai pertumbahan perniagaan secara mampan dengan memenuhi tanggungjawab kami selaras dengan tujuan untuk membina masa depan yang lebih cerah dan mengukuhkan lagi kedudukan Zurich Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Zurich Malaysia adalah antara dua syarikat insurans yang memiliki keempat-empat lesen insurans dan takaful, iaitu takaful keluarga (Zurich Takaful), takaful am (Zurich General Takaful), insuran hayat (Zurich Life Insurance) dan insurans am (Zurich General Insurance).- BERNAMA

Previous post Eylia Guntabid penyanyi pertama Malaysia menang juara StarVoices Asia ke-7
Next post Monsun Timur Laut bermula 3 Nov hingga Mac 2022 berpotensi mengakibatkan banjir besar