KUALA LUMPUR: Program pembangunan usahawan asnaf dan B40 SME Bank iaitu Program Penjana Komuniti@SME Bank dan Program ISHRAF telah membuahkan hasil apabila secara keseluruhannya 240 orang peserta dari kedua-dua program ini mencatatkan hasil jualan sebanyak RM5.15 juta.
Kedua-dua program ini juga baru-baru ini telah menerima pengiktirafan peringkat antarabangsa daripada Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP) sewaktu mesyuarat tahunan ke-44 yang dianjurkan secara maya pada 28 Oktober 2021.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, pengiktirafan peringkat antarabangsa tersebut menjadi pendorong bagi pihaknya untuk terus berusaha menganjurkan program yang memberi nilai tambah untuk pembangunan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara terutamanya sewaktu fasa pemulihan ekonomi ketika ini.
“Melalui program tanggungjawab korporat Program Penjana Komuniti@SME Bank, pihak bank memberi fokus untuk membantu usahawan tidak formal dan mikro yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya, ibu tunggal dan B40 untuk beralih ke peringkat lebih tinggi dan maju.
“Manakala bagi Program ISHRAF, objektif utama ialah memajukan perniagaan golongan asnaf sedia ada dan meningkatkan taraf sosioekonomi daripada golongan penerima zakat ke pengeluar zakat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Aria menjelaskan, seramai 137 orang peserta mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan terkumpul sebanyak RM4.03 juta iaitu peningkatan 73.52 peratus. Manakala 220 orang peserta telah memiliki domain perniagaan .biz.my melalui Program Penjana Komuniti@SME Bank.
Sementara 150 orang peserta yang berjaya melengkapkan laman sesawang perniagaan sepanjang program dilaksanakan dan 178 orang peserta pula telah beralih kepada sistem perakaunan digital.
Jelas beliau lagi, dengan dana sebanyak RM3 juta daripada MEDAC, seramai 220 orang peserta Program Penjana Komuniti@SME Bank telah mengikuti kelas bimbingan pemasaran digital, e-dagang serta penulisan bagi pemasaran dalam talian.
Peserta diperlukan melengkapkan sekurang-kurangnya 90 peratus dari tugasan yang diberikan dan mesti mendaftarkan syarikat dengan SSM. Peserta yang memenuhi semua syarat akan menerima geran bernilai RM10,000, menyertai kelas bimbingan perniagaan dan perkembangan perniagaan.
Menurut beliau, perbelanjaan wang geran akan dipantau agar mencapai petunjuk prestasi utama yang ditetapkan di awal program. Anak syarikat SME Bank, entre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) telah dilantik sebagai jurulatih perniagaan untuk program ini.
Bagi Program ISHRAF, seramai 20 orang peniaga asnaf dan B40 di bawah naungan Lembaga Zakat Selangor telah terpilih untuk mengikuti program pembangunan usahawan berstruktur dan diberi modal kerja untuk meningkatkan prestasi perniagaan masing-masing.
Persediaan awal tersebut secara tidak langsung membantu para peserta berhadapan dengan impak pandemik COVID-19.
“Impak Program ISHRAF sangat positif di mana para peserta bukan sahaja merekodkan jumlah jualan terkumpul sebanyak RM1.12 juta dalam tempoh sembilan bulan tetapi pada masa yang sama turut meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka.
“Melihat kepada kejayaan program ini, SME Bank akan meneruskan lagi dengan Program ISHRAF 2.0 yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini,” katanya lagi.
Kedua-dua inisiatif SME Bank tersebut meraih dua Anugerah Merit bagi Projek Pembangunan Terbaik bagi Program ISHRAF dan Projek Tanggungjawab Korporat Sosial Terbaik bagi Program Penjana Komuniti@SME Bank.
Untuk pelbagai maklumat lanjut berkenaan bantuan kewangan dan program pembangunan usahawan oleh SME Bank, sila layari laman web www.smebank.com.my dan Facebook rasmi SME Bank.
-SUKSES NEWS