SEORANG pelajar Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya, Cheryl Chow Shu Wei telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi subjek Kimia.
Sehubunan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan kepada pelajar muda berkenaan susulan kejayaan beliau dinobatkan ‘Top In The World’ bagi mata pelajaran Kimia dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) baru-baru ini.
Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita dan berbangga atas pencapaian cemerlang pelajar tersebut, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Yang di-Pertuan Agong berharap semoga kejayaan pelajar berusia 17 tahun itu menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Petaling Jaya itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan.
“Sesungguhnya, kejayaan adik, Cheryl Chow Shu Wei sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan pelajar dan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.
“Ia juga membuktikan dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” menurut Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara menerusi Facebook rasmi pada 3 Mei 2021.

Direkodkan, Cheryl memperoleh pengiktirafan daripada Cambridge Assessment International Education selepas berjaya mengenepikan hampir sejuta pelajar lain dari seluruh dunia pada acara Outstanding Cambridge Learner Awards.
Dimaklumkan, beliau memperoleh markah piawaian tertinggi dalam peperiksaan IGCSE bagi subjek Kimia.
Bertambah menarik, Cheryl juga pernah dinobatkan sebagai peserta terbaik pada acara Mangahigh East Asia Maths Challenge 2019 yang mana anak muda itu mengatasi 14,240 pelajar dari Jepun, Korea Selatan, Singapura dan negara-negara Asia Timur.
Selain itu, beliau pernah merangkul pingat emas pada acara Kangaroo Math Competition peringkat kebangsaan dan pertandingan di University of St Andrews Competition pada tahun 2019.
Bagi dua tahun berturut antara 2019 hingga 2020, Cheryl turut dianugerahkan pingat emas di dalam Queen’s Commonwealth Essay Competition.
Sumber: FB Istana Negara