KUALA TERENGGANU – Primula Beach Hotel Sdn. Bhd. melakar satu lagi sejarah apabila dianugerahkan ‘Consumer Choice Brand’ pada Malam Anugerah Usahawan Berprestij Islam (IDEA Award 2023) di Kuala Lumpur pada 3 November 2023.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, anugerah berprestij tersebut dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders  bertujuan mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi. 

Menurutnya, anugerah itu juga bertujuan memupuk kerjasama dengan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri mesra muslim melalui perniagaan mereka.

“Keunikan anugerah ini tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui perniagaan, serta memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada masyarakat. 

“Anugerah IDEA Award 2023 menjadi platform yang luar biasa untuk mengiktiraf usaha cemerlang usahawan Muslim di Malaysia, serta menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing,” katanya ketika ditemui wartawan pada acara berkenaan.

Primula-Beach-Hotel-terima-anugerah-IDEA-Award-2023
Pengurus Besar Primula Beach Hotel Sdn Bhd, Suaibah Harun bersama plug anugerah IDEA Award 2023. Gambar Instagram Primula Beach Hotel.

Majlis penganugerahan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Primula Beach Hotel menerima trofi anugerah tersebut dengan ukiran khat ‘Mari Menuju Kejayaan’ sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam dunia perniagaan. 

Mengulas lanjut, Suaibah berkata, sebagai hotel milik penuh kerajaan negeri Terengganu, pihaknya berazam untuk terus menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi untuk semua pelanggan mereka demi mengekalkan ciri-ciri terbaik yang telah diiktiraf selama ini.

“Anugerah ini juga akan terus meningkatkan motivasi kepada seluruh warga Primula Beach Hotel untuk lebih berdaya saing dan kekal unggul dalam industri pelancongan di Terengganu.

“Kami akan bekerja dengan lebih gigih lagi dalam mempromosikan perniagaan pelancongan mesra pelanggan sekaligus mewujudkan imej positif Terengganu di persada antarabangsa,” katanya. 

 

Sumber: Utusan Malaysia

Foto Utama: Instagram Primula Beach Hotel

 

Previous post Sidang Media Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa berkenaan WHO CA+ dan IHR 2005
23-koperasi-sekolah-catat-perolehan-RM1-juta Next post 23 koperasi sekolah catat perolehan RM1 juta