BALMORAL, Scotland: Ratu Elizabeth, yang paling lama bertakhta di dunia, iaitu selama tujuh dekad, meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Kemangkatannya diumumkan oleh Istana Buckingham pada Khamis (8 Sep).
“Ratu meninggal dunia dengan tenang di Balmoral petang ini,” menurut Istana Buckingham dalam kenyataannya yang disiarkan di pelbagai media termasuk BBC, CNN dan Reuters.
Anak sulung mendiang, Charles yang berusia 73 tahun, secara automatik naik takhta sebagai raja Britain dan ketua negara bagi 14 kerajaan lain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.
Keluarga terdekat dan kerabat diraja bergegas untuk berada di sisinya selepas para doktor menyatakan kebimbangan tentang keadaan kesihatannya.
Mendiang Ratu Elizabeth mengalami apa yang disifatkan oleh Istana Buckingham sebagai “masalah pergerakan secara episodik” sejak hujung tahun lalu, sehingga beliau terpaksa menarik diri daripada hampir kesemua keramaian umum, lapor Reuters.
Ratu Elizabeth II naik takhta pada 8 Februari 1952 pada usia 25 tahun menyusuli kemangkatan bapanya, Raja George VI pada 6 Februari 1952.