KUALA LUMPUR, 26 November 2024 – Muzik rock terus utuh dengan kedatangan tahun 2025 diraikan menerusi konsert ROXtheNATION yang mempertemukan legenda rock, Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie di satu pentas, buat pertama kalinya.
Dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur, konsert dijadual berlangsung di lokasi ikonik itu pada 25 Januari depan. Ini merupakan projek usahasama antara Menara Kuala Lumpur, FAR Worldwide sebagai Penganjur Acara dan SU.RE Sihat KL, iaitu singkatan bagi Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur.
Pengerusi Projek, Ellie G, menyifatkan ROXtheNATION sebagai sebuah impian tertunda yang akhirnya terlaksana menerusi penyatuan figura muzik dua negara, Malaysia dan Indonesia, yang bakal memberikan energi luar biasa.
“ROXtheNATION adalah terjemahan kepada muzik rock dalam erti kata sebenar, iaitu sebagai sebuah konsert yang akan menggegarkan Malaysia, dan juga sampai terdengar di Indonesia dengan persembahan yang spektakular.

“Kenapa Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie? Bertahan empat dekad dalam industri muzik, malah masih memberikan sentuhan berbisa menjadikan kolaborasi ini cukup magikal,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir, Man Keedal dan Jo, selain Eet yang diterbangkan khas dari Indonesia.
Bagi memantapkan penganjuran, Man Keedal juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Konsert & Muzik, selain Samsul Kamal (Penolong Pengarah Projek), Jerry Hend (Pengarah Kreatif), Mewah Event Management (Promosi) dan Ilasso Tickets (Pengurusan Tiket).
Tiket dijual pada harga RM188 (Silver), RM288 (Gold) dan RM388 (VIP), manakala hanya RM30 ditawarkan bagi tontonan secara Live Streaming. Pra jualan tiket secara dalam talian dibuka mulai 26 November, manakala penjualan biasa bermula 15 Disember ini. Sila layari www.ilassotickets.com untuk pembelian tiket.
Sebagai menyokong usaha SU.RE Sihat KL yang kini dipimpin Presiden, Shameem Akhtar Mohd Ashraf, Ellie G juga mengumumkan bagi setiap tiket terjual, sebanyak 5 peratus daripada hasilnya akan disumbangkan kepada persatuan berkenaan.

Ditubuhkan pada Julai 2019, SU.RE Sihat KL bertujuan menggalakkan penduduk ibu kota, khasnya mengamalkan kehidupan yang lebih aktif dan kreatif dalam mencapai tahap kesihatan yang baik.
“Penajaan oleh Farmasi, iaitu sebuah jenama kecantikan yang dibangunkan di Turki, juga membolehkan peminat berhibur sambil beramal apabila 5 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada persatuan, sama ada menerusi pembelian produk Farmasi Shield Man atau tiket konsert,” ujarnya.
Jelasnya, umum mengetahui mengenai pembabitan Man Keedal, 61, antara peneraju muzik rock tanahair yang mencipta nama bersama Lefthanded yang diasaskannya pada 1983. Jo Branko, 55, pula merupakan pemain gitar utama Wings sebelum menubuhkan Barbarik.
Eet, 62, menurutnya pula adalah pemuzik kelahiran Bandung yang lebih dulu mencipta nama bersama band rock terkenal Indonesia, God Bless sebelum meneruskan perjuangan muziknya bersama band EdaneE.
“Baik individu, mahu pun berkumpulan, kolaborasi julung kali Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie ini memperlihatkan keunikan ROXtheNATION yang dijangka meraih kehadiran fizikal sehingga 3,000 peminat, sekali gus menjadi jenama ikonik bagi para pemuzik legenda.
“Kebetulan ketigha-tiga mereka juga adalah gitaris rock dan ia menyempurnakan lagi konsert ini,” katanya yang turut mengumumkan hadiah sebuah motosikal Harley Davidson menanti audiens bertuah ROXtheNATION.
Kata Ellie G, kerjasama dengan jenama motorsikal itu malahan menjangkau ke hal penyelenggaraan acara Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Selain sebuah motorsikal Harley Davidson yang identitik dengan genre muzik rock yang disediakan sebagai hadiah untuk audiens bertuah, ada acara CSR akan disertai tiga ikon ROXtheNATION.
“CSR ini antara lain bagi menyampaikan mesej bahawa melalui muzik, berkolaborasi antara dua negara, semakin memperkuat persahabatan negara serumpun ini, iaitu Malaysia dan Indonesia,” tambahnya.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan ROXtheNATION menjadi acara tahunan yang memanfaatkan industri, apatah lagi dengan edisi sulung ini yang telah direalisasikan oleh Menara Kuala Lumpur, sekali gus menyemarakkan lagi industri pelancongan negara.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi: Aida Hussin 012-2166873