FILEM Small Town Heroes tidak banyak publisiti walaupun ada beberapa trivia menarik. Menelan kos produksi kira-kira RM2.1 juta dalam format 2D, kisah cinta pemuda Cina dan gadis Melayu yang ditumpukan dalam filem ini tribut kepada filem Sepet (2005).

Pengarah Ryon Lee mengaku minatnya yang mendalam terhadap filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu mendorong dia mengarahkan Small Town Heroes.

Filem bergenre drama dalam bahasa Mandarin ini ditayangkan di pawagam di seluruh negara bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina bagi 2022, mulai 3 Februari.

Small Town Heroes yang difilemkan sepenuhnya di Malaysia, turut menampilkan Yuan Teng, Aktor Terbaik untuk Bakat Baharu di Festival Filem Antarabangsa Shanghai ke-22 pada 21 Jun 2019 menerusi filem Taiwan, The Paradise. Aktor Malaysia yang turut membintangi In my Heart (2018) ini juga dipilih oleh Lee kerana memiliki mata monolid.

Dalam The Paradise yang diarahkan oleh sutradara Taiwan, Shih-Han Liao, Yuan Teng membawa watak seorang anak muda yang menghadapi masalah ketagihan dadah.

Selain itu, Layla Sania, penyanyi Melayu yang boleh menyanyi dalam bahasa Mandarin dengan fasih, dan menulis lirik dalam bahasa itu, turut menjadi pilihan Ryon Lee memegang salah satu watak penting, iaitu Cikgu Aisyah.

Layla Sania muncul dengan lagu Mandarin pertamanya, By Your Side pada 22 Januari 2021. Lima bulan kemudian, dia muncul sebagai penyanyi kedua Malaysia selepas Yuna dan sebelum Dolla, yang dipaparkan pada papan iklan digital tersohor di Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Penampilan itu ialah sebahagian daripada kempen Equal oleh wadah penstriman digital, Spotify. Dia menjadi wakil Equal Malaysia dan Singapura, serta terbabit dalam projek ini, di samping 34 penyanyi mewakili 50 negara lain.

Layla Sania bersama-sama 15 penyanyi berbilang kaum, termasuk Iman Troye, Ariff Bahran, Priscilla Abby dan Henley Hii menyumbangkan suara untuk lagu patriotik bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan negara ke-64 berjudul We Are One, karya Teng Bee terbitan Multimedia Entertainment, untuk membangkitkan semangat rakyat Malaysia memerangi COVID-19.

Layla Sania, 19, yang mengambil muzik penyanyi terkenal antarabangsa Amy Winehouse, Ariana Grande dan Duffy sebagai sumber inspirasi, serta rujukan muziknya, muncul dalam persada muzik tempatan dengan single berjudul Que Sera Sera pada pertengahan 2019.

Langkah Layla Sania itu bermula pada 2018 selepas menjuarai MBP Singing Competition 2018, dia ditawarkan menandatangani kontrak dengan Warner Music Malaysia setahun kemudian, dan muncul dengan Que Sera Sera.

Que sera sera ialah perkataan dalam bahasa Sepanyol yang bermaksud apa yang akan terjadi, pasti terjadi. Melodi lagu ini dicipta oleh bapanya sendiri, Khairuzikri yang menggunakan nama pena, Mystictune.

Pada Februari 2020, Layla Sania menjadi salah seorang peserta I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga TV3. Lagu You’re The Only One in My Heart nyanyian asal penyanyi Taiwan, Tiger Huang, memperkenal lagi namanya dalam industri muzik tanah air.

Layla Sania kemudian mengeluarkan single keduanya pada Mac 2020 berjudul Lakaran, diikuti single ketiga, Bambino berduet dengan penyanyi meningkat naik, Bunga Isme.

Bukan kemampuan menyanyi dalam bahasa Mandarin sahaja yang menarik hati Ryon Lee. Layla Sania juga ada bakat berlakon, yang diasah semasa dia berusia 10 tahun menerusi telefilem Cucu Tok Aki, dan drama Bangkitnya Seorang Perempuan.

Walau bagaimanapun, dia meninggalkan kerjaya seni seketika bagi memberi tumpuan kepada pelajarannya. Pada usia 17 tahun, Layla Sania bergiat aktif dalam teater dan suara latar.

Sementara itu, menurut Yuan Teng yang berasal dari Kuala Lumpur, watak lakonannya merupakan tribut Lee untuk Guo Jing dalam filem The Legend of the Condor Heroes arahan Jin Yong.

Guo Qing dalam Small Town Heroes merupakan peniaga buah-buahan yang lurus dan naïf, serta suka berlagak gagah di hadapan orang yang disukainya.

Kata pemilik nama sebenar Chang Hong Ong itu lagi, dia teruja setelah mendapat tahu akan membintangi Small Town Heroes, yang merupakan filem Tahun Baharu Cinanya yang pertama. Selepas membaca skrip dan melihat senarai pelakon, dia sangat gembira, dan tidak sabar ke set.

Turut membintangi Small Town Heroes yang merupakan kolaborasi pertamanya dengan Ryon Lee ialah Jack Lim. Bagi Jack Lim, watak lakonannya agak berat, iaitu pemandu lori yang kehilangan anak, dan ada hubungan suka-meluat dengan Guo Qing, selain suka mengusik Aisyah.

Sementara itu, penyanyi-pelakon Eric Lin membuat penampilan pertamanya dalam filem selepas lima tahun apabila muncul sebagai cameo istimewa, Kimchi, yang membesar di Rumah Anak Yatim Kebahagiaan. Setelah dewasa, dia sesekali kembali ke situ membantu kerja-kerja di dapur.

Pelakon veteran berkarisma, Fauziah Nawi turut membintangi Small Town Heroes. Sebagai ‘orang lama’, Fauziah tiada masalah langsung membawakan watak ibu kepada Aisyah.

Pelakon Tamil yang terkenal dengan watak pegawai polis dalam siri televisyen terkenal Gerak Khas, iaitu C Kumaresan turut berlakon sebagai Cikgu Kumar.

Jment Lim, yang menjadi penerbit bersama-sama penerbit eksekutif Aron Koh, turut berjanji 30 peratus daripada keuntungan Small Town Heroes akan didermakan kepada badan amal.

Selain ada unsur komedi yang mengundang gelak ketawa dan sedih yang mengharukan perasaan, aspek lakonan juga banyak membantu penampilan Small Town Heroes.

Yuan Teng berjaya membawa watak Guo Qing yang jatuh cinta dan angau dengan baik. Layla Sania juga tidak mengecewakan, malah ketika ketika melakukan adegan bergasak menewaskan para peragut di hadapan gerai nasi lemak ibunya.

Jack Lim pula nampak selesa dengan wataknya yang periang, tetapi menanggung duka. Tidak diduga dan mengagumkan ialah lakonan Roger Shak dan Phua Chandler. Mereka memang kanak-kanak yang amat berbakat dalam bidang lakonan.

Kisah Small Town Heroes bermula apabila Hero (Roger Shak), yang berasal dari kota, mendiami Rumah Anak Yatim Kebahagiaan yang terletak di luar bandar. Di situ, dia berkawan baik dengan Ah Feng (Phua Chandler) yang keletah serta meminati novel seni mempertahan diri, dan Aisyah yang bercita-cita menjadi penggusti.

Setelah ibu Hero tidak datang mengambilnya seperti yang dijanjikan, dia dan Ah Feng memulakan perjalanan mencari keluarganya di Pulau Pinang.

 

 

Previous post Nurraysa bantu 182,000 usahawan dari rumah sejak pandemik
Next post Banyak penternak ayam bakal gulung tikar