RANGKAIAN penyiaran tempatan milikan Datuk AC Mizal, SUKE TV, yang dilancarkan baru-baru ini, telah melantik Be Strategic, sebuah syarikat tempatan sebagai agensi komunikasi pemasaran bersepadu untuk memacu aktiviti pelancaran dan hubungan masyarakatnya di Malaysia.

Be Strategic akan bekerjasama dengan pasukan pemasaran SUKE TV untuk menghidupkan visi jenama rangkaian melalui inisiatif-inisiatif penjenamaan, digital dan sosial, serta perhubungan awam.

Aktiviti pemasaran tersebut bakal dijalankan bagi memperkenalkan kehadiran Suke TV kepada industri Media dan Hiburan (M&E) sebagai sebuah rangkaian penyiaran yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Pengasas dan Pengerusi Suke TV, AC Mizal berkata, SUKE TV ditubuhkan untuk menyumbang kepada kesinambungan selebriti, penggiat seni, pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) serta penonton tempatan.

“SUKE TV menawarkan kemudahan membeli-belah alar baru dan kontemporari melalui strategi platform dwi-pilihan kami.

“Misi kami di SUKE TV adalah untuk mengembalikan kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia, bangsa dan jantina; dan untuk menjalinkan hubungan yang erat bersama penonton,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Beliau menjelaskan, Be Strategic memahami keperluan pihaknya dan berjaya mencitrakan inti pati jenama SUKE TV, termasuk kisah sejarah di sebalik penubuhan rangkaian mereka.

“Sebagai sebuah pemain baharu, ianya sangat mustahak untuk bekerjasama dengan sebuah agensi yang dapat menawarkan pandangan industri yang mendalam bagi memperkasakan posisi Suke TV dalam industri M&E.

“Keputusan perlantikan Be Strategic adalah cerminan intrinsik kepada misi kami untuk menyokong dan membantu perniagaan tempatan.

“Be Strategic merupakan sebuah agensi tempatan yang menawarkan pengetahuan, pengalaman, kepakaran serta pengiktirafan untuk membawa jenama SUKE TV ke khalayak ramai. Kami tidak sabar untuk memulakan persahabatan dinamik ini untuk memacu jenama SUKE ke hadapan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Be Strategic, Dan Iskandar memberitahu, pihaknya bersedia memikul tanggungjawab sebagai peneraju misi SUKE TV untuk menyampaikan pengalaman beli-belah yang mudah dan lancar kepada rakyat Malaysia.

“Kami percaya bahawa pendekatan kreatif Be Strategic untuk SUKE TV akan memperkukuhkan posisinya di kalangan industri M&E tempatan, dan kami akan memberi yang terbaik untuk menjadikan visi jenama SUKE TV suatu kenyataan,” katatanya.

Baru-baru ini, SUKE TV mengumumkan barisan personaliti yang akan bekerjasama dengan mereka di saluran TV ‘free to air’ (FTA) 24/7 mereka. Antaranya ialah Wak Doyok, Tengku Azura, Maryam Ryzal, Ernie Zakri, Emelda Rosmila dan Syamel. Turut memberi kerjasama ialah penggiat media sosial seperti Aireena Sofia, Mat Dan, Bibi Qairina dan Rushdan Wafa serta bakat industri seperti Reeve Damien, Allisya Tahir dan Fauzi Zulkifli.

Sementara itu, antara senarai pelanggan Be Strategic pula termasuk Lazada Malaysia, Quill Automobiles, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), UDA Property, dan Castrol Malaysia. Baharu-baharu ini agensi ini telah berjaya merangkul lima anugerah di Agency of the Year dan MARKies Awards Malaysia 2021 oleh Advertising + Marketing Magazine.

-SUKES NEWS

Previous post Samuel Wee CEO baharu REV Media
Next post MITI tells businesses to get ready for great reset to prepare for new normal