PETALING JAYA – Syarikat patuh syariah yang tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia, TDM Berhad mengumumkan kejayaannya merangkul Anugerah Bintang Meningkat Naik Kelestarian di Anugerah Kecemerlangan dan Kelestarian Korporat Asia (ACES) 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pengiktirafan itu bukti kepada komitmen TDM dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta usahanya menyokong serta menyumbang kepada inisiatif persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).
Komitmen syarikat terhadap amalan lestari jelas terbukti melalui pematuhannya kepada piawaian yang ditetapkan di Malaysia dan juga antarabangsa, termasuklah pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, kejayaan itu amat bermakna kerana pihaknya sangat memandang serius tentang soal kelestarian syarikat dalam usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
“Ini bukan sahaja menggariskan komitmen TDM kepada kemampanan serta kelestarian alam, malah meletakkan syarikat di tahap yang tinggi dengan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dalam industri minyak sawit serta penjagaan kesihatan.
“Usaha dan komitmen TDM terhadap kemampanan ini merupakan usahasama ramai pihak yang diketuai oleh Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Kelestarian dan Kumpulan Kerja Kelestarian TDM bagi memastikan aspek kelestarian sentiasa dititikberatkan serta disepadukan ke dalam pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Dalam majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur itu, TDM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare); Dr. Rayney Azmi Ali dan Ketua Pemantauan Prestasi Pelaburan TDM; Hasnol Zariman Mohd Hashim.
Sebagai rekod, antara pencapaian TDM yang membanggakan pada tahun 2023 sekaligus menyumbang kepada kejayaan memperoleh pengiktirafan ACES 2023 adalah melalui pelancaran serta perasmian dua loji biogas yang inovatif di Sungai Tong dan Kemaman, Terengganu.
Selain itu, komitmen TDM juga dapat dilihat melalui inisiatif peralihan lampu kalimantang kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) cekap tenaga di pejabat-pejabat korporat sehingga berjaya mencapai pengurangan 16.6% dalam pelepasan gas rumah hijau bersih pada tahun 2022.
Sumber: KOSMO, terengganu.gov.my
