Mahu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan profesional
AMPANG – UGreat International Sdn Bhd, syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan tempatan yang bergerak melalui perniagaan jualan langsung, mencatatkan sejarah penting apabila berjaya memperoleh lanjutan lesen Akta Jualan Langsung (AJL) selama 5 tahun, sekali gus memperkukuhkan reputasi dan kepercayaan terhadap jenama di dalam industri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Taufik Mohd Samsuddin, syarikatnya telah mendapat lesen AJL selama dua tahun yang lalu dan apabila tiba masa untuk pembaharuan, mereka menerima berita gembira apabila diberikan lanjutan lesen AJL selama lima tahun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Apabila kita memperbaharui lesen, kebanyakan syarikat baharu biasanya hanya mendapat pembaharuan lesen AJL untuk setahun atau dua tahun sahaja. Namun, mungkin kerana kami menjalankan perniagaan dengan amanah dan integriti, serta memiliki reputasi yang baik, kami diberi lanjutan lesen selama lima tahun,” ujar Mohd Taufik ketika ditemu bual SUKSES NEWS di Restoran Yahala Ampang, Jalan Nipah, Kuala Lumpur, baharu-baharu ini.

Berikutan kejayaan tersebut, Mohd Taufik menyatakan bahawa perasaan mereka sangat teruja dan bersyukur kerana ia turut meningkatkan keyakinan pihak pengurusan, pelanggan, pengedar serta 100,000 ahli UGreat International Malaysia dan luar negara.
“Berita ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan kepada jenama kami, tetapi juga memberi perangsang serta semangat baru untuk terus maju dan melangkah lebih jauh dalam industri jualan langsung,” tambahnya.
Pencapaian ini menandakan pengiktirafan KPDN terhadap komitmen dan integriti yang ditunjukkan oleh UGreat International dalam menjalankan perniagaan jualan langsung yang sah dan telus. Sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya menembusi pasaran ini, UGreat International terus menjadi contoh kejayaan perniagaan yang berlandaskan nilai murni.
Mengimbas kembali perjalanan syarikat, UGreat International yang ditubuhkan pada Disember 2019, berjaya mengharungi cabaran besar yang dibawa ketika pandemik Covid-19, dengan mencatatkan pencapaian luar biasa walaupun dalam keadaan penuh ketidakpastian. Dimulakan dengan penuh optimisme, syarikat ini melancarkan operasinya pada 29 Februari 2020 di Putra World Trade Centre (PWTC), tidak lama sebelum dunia berhadapan dengan gelombang pertama pandemik.

“Pada mulanya, kami sangat optimistik dan bersemangat untuk memulakan perniagaan. Namun, pada 18 Mac 2020, dunia tiba-tiba dihantui oleh Covid-19. Banyak syarikat terpaksa mengurangkan operasi atau gulung tikar, tetapi kami tetap berdiri teguh,” kata Taufik.
Dalam tempoh yang penuh ketidakpastian itu, syarikat menukar pendekatan dengan memanfaatkan saluran dalam talian termasuk media sosial untuk mengekalkan daya saingnya.
Keberanian mereka untuk beradaptasi dengan perubahan yang cepat menghasilkan kejayaan luar biasa.
Menariknya, impak dari pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat telah berjaya membuka pasaran baru di luar negara, termasuk pasaran Afrika yang menunjukkan permintaan yang memberangsangkan terhadap produk mereka hingga berjaya menubuhkan pejabat-pejabat seperti di Nigeria, Uganda, Tanzania, Oman, dan Kenya.
Dalam tempoh dua tahun pandemik, UGreat International mencatatkan perolehan jualan purata antara RM500,000 hingga RM1 juta sebulan. Walaupun terdapat turun naik dalam jualan, syarikat ini berjaya mengekalkan kedudukan dan terus berkembang meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran luar biasa.
“Saya rasa sangat bersyukur kerana kami tidak hanya bertahan, tetapi juga berkembang meluaskan pasaran dalam situasi yang begitu sukar. Ini semua kerana keyakinan dan semangat kami untuk terus maju.
“Kejayaan meluaskan pasaran luar negara ini adalah hasil daripada komitmen berterusan semua pihak untuk mengembangkan perniagaan mereka walaupun selepas pandemik. Kami sudah memiliki cawangan di beberapa negara Afrika, dan yang terbaru, Indonesia. Kita juga sedang meneroka pasaran baru seperti India, Filipina, dan Thailand,” jelasnya.

Pencapaian Syarikat
CEO muda ini memberitahu, selepas hampir dua tahun beroperasi, UGreat International telah berjaya meraih pengiktirafan apabila dianugerahkan sebagai “Outstanding Lifestyle Beauty & Health Company of the Year” dalam kategori SME Malaysia. Penghargaan ini diterima pada majlis Made for The World Excellence Awards 2021 yang diadakan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
Dalam acara yang penuh berprestij itu, UGreat International menerima pengiktirafan daripada portal dwibahasa terkemuka di Malaysia, NiagaTimes.com, sebagai syarikat yang unggul dalam industri kecantikan dan kesihatan.
Kejayaan ini, katanya, menandakan pencapaian cemerlang syarikat yang baru sahaja bertapak di pasaran tempatan, tetapi sudah menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam memajukan industri tersebut.
Selain itu, UGreat International turut menerima anugerah “Asia Pacific Top Excellence Brand 2022 – 2024” daripada Asia Pacific Top Excellence Brand Committee (APC). Ini merupakan satu lagi pengiktirafan yang membuktikan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat serta komitmennya dalam memberi impak positif kepada ekonomi dan masyarakat.
“Dalam masa dua tahun pertama beroperasi, kita juga telah berjaya membeli sebuah kilang GMP yang bernilai lebih kurang RM1 juta. Sebelum memiliki kilang sendiri, syarikat bergantung kepada rakan kongsi eksklusif untuk mengeluarkan produk-produk. Tetapi kini, semua produk UGreat International dihasilkan secara langsung di kilang milik kita sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai rahsia kejayaan syarikat memiliki kilang sendiri dalam waktu yang singkat selepas beroperasi, Mohd Taufik menegaskan, tidak ada rahsia khusus yang membolehkan mencapainya sebaliknya, beliau melihat setiap cabaran sebagai peluang.
“Di waktu COVID-19, ramai orang mula sedar tentang pentingnya menjaga kesihatan, dan banyak juga yang mencari sumber ekonomi. Itulah peluang kami, di mana kami menawarkan platform perkongsian ekonomi melalui peluang perniagaan di samping memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna melalui produk-produk kesihatan yang berkualiti tinggi ,” jelas beliau.
Pencapaian Usahawan
Di samping pencapaian syarikat, UGreat International juga terus menunjukkan perkembangan positif dalam melahirkan usahawan yang berjaya.
Menurut Taufik, pelbagai tahap pencapaian dapat dilihat di kalangan usahawan yang berjaya bersama UGreat. Dari sekadar memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM500 hingga RM1,000 sebulan, hingga kepada mereka yang berjaya menjadikan UGreat sebagai kerjaya dan sumber pendapatan utama dengan jumlah pendapatan mencecah RM10,000, RM20,000, malah ada yang mencapai RM50,000 sebulan.
“Antara contoh kejayaan yang dapat dilihat ialah Tuan Haji Wahi Selamat, seorang bekas guru mengajar sekolah madrasah yang kini berjaya mencapai pendapatan tertinggi bersama UGreat. Kejayaan beliau ini menunjukkan bahawa dengan usaha yang gigih dan kreativiti, serta sokongan sistem yang disediakan oleh syarikat, siapa sahaja tanpa mengira latar belakang boleh mencapai kejayaan bersama UGreat International,” ujar beliau.
Beliau juga menjelaskan, syarikat kini meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk meningkatkan jumlah keahlian dan melahirkan usahawan yang berpendapatan lumayan.
“Dalam tempoh lima ke 10 tahun yang akan datang, kami mensasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 1 juta keahlian dan melahirkan 100 usahawan jutawan, sebagai sebahagian daripada matlamat besar syarikat ini.
“Pencapaian ini bukan hanya bergantung pada modal dan peluang yang ada, tetapi juga pada usaha dan kreativiti setiap usahawan dalam memanfaatkan sistem yang disediakan. Dengan pencapaian yang semakin meningkat, kami berazam untuk terus melahirkan usahawan yang berjaya, sekali gus membantu mereka mencapai kejayaan kewangan yang lebih besar di masa hadapan.

Peluang perniagaan
UGreat International yang menyediakan platform perniagaan terkini memberi peluang kepada sesiapa jua individu untuk menjadi usahawan.
“Kita buka peluang kepada sesiapa sahaja yang nak tambah pendapatan, nak selesaikan segala hutang, yang nak buat bisnes secara sambilan ataupun nak jadikan sebagai kerjaya, boleh bermula dengan modal serendah RM240 dan terus menjadi ahli ataupun pengedar UGreat International.
“Kemudian boleh sertai segala bentuk latihan yang disediakan. Baik daripada latihan peringkat awal, peringkat pantengahan hingga peringkat kepimpinan supaya mereka boleh menjadi usahawan yang berjaya.
“Sebab kalau kita perhatikan perniagaan lain di luar sana, kelas-kelas ataupun ilmu perniagaan yang disediakan kosnya jauh lebih mahal. Di UGreat International, latihan kita sediakan all in one, macam one stop centre. Yang pertama kita sediakan platform, yang kedua kita bimbing dia secara praktikal sampai berjaya jadi usahawan yang luar biasa,”jelas Taufik.
Pandangan pemimpin
Seorang pemimpin perniagaan, , 59, yang berpengalaman 25 tahun dan pernah menjadi jutawan dalam perniagaan jualan langsung berbilang tingkat memberitahu, pelan pemasaran syarikat UGreat International sangat menarik membuatkan antara sebab beliau ‘come back’ semula setelah sekian lama berhenti berniaga ‘networking’.
“Kalau orang ‘networking’ mereka mesti mahu pelan pemasaran yang mudah difahami dan mudah untuk mereka jalankan perniagaan ini.Jadi di Ugreat , ia sesuai untuk mereka yang baru nak berkecimpung dalam industri ini dan juga sesuai untuk orang yang dah lama dalam industri ini kerana pelan pemasarannya sangat mudah dan realistik.

Hajah Noor Aini menjelaskan, selain pelan pemasaran, faktor keperibadian dan kepimpinan tuan CEO juga menjadi penyebab beliau bersama dengan UGreat International.
“Saya kenal tuan CEO sudah lama. Jadi saya tahu latar belakang beliau, keperibadiannya macam mana. Suatu hari, beliau hubungi saya dan beritahu hendak tubuhkan syarikat. Saya sebenarnya sudah tidak hendak buat apa-apa perniagaan ‘networking’ sebab saya sudah dapat apa yang saya nak capai sebelum ini. Tetapi disebabkan keperibadian dia bagus, jujur,Amanah dan bertangggungjawab dalam segala perkara, jadi saya sertai UGreat International.
“Dari segi kepimpinan, tuan CEO adalah seorang ‘networker’ yang telah terbukti mencapai kejayaan cemerlang kerana pernah menjadi jutawan termuda melalui syarikat yang pernah beliau sertai dulu. Itu menunjukkan beliau memang ada pengalaman sebagai ‘networker,’ jadi dia tahu segala permasalahan ‘networker’.
“Macam mesyuarat hari ini, pemimpin-pemimpin perniagaan mencadangkan sesuatu perkara termasuk budged promosi, dia tak kata oh nanti la saya mesyuarat dengan direktor dulu, nanti saya luluskan, tidak begitu. Sebaliknya dia segera buat keputusan. Apabila cepat buat keputusan, aktiviti perniagaan pun menjadi lancar,” jelas beliau lagi.