SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) tersenarai bagi tahun kedua berturut-turut dalam QS World University Rankings: Sustainability (Ranking Universiti Dunia QS: Kelestariann) 2024 dengan menduduki tangga ke-151 di Asia.
UiTM dalam kenyataan memaklumkan, kejayaan tersebut merupakan peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding kedudukan tahun lalu.
Menurut universiti tersebut, sebanyak 1,403 institusi di seluruh dunia disenaraikan, berbanding 700 institusi pada tahun sebelumnya, dengan 26 institusi dari Malaysia dan 478 secara kolektif dari Asia.
“Pengukuran kedudukan bagi tahun 2024 tampil dengan perubahan ketara terutama dengan kemasukan ‘Tadbir Urus’ sebagai salah satu petunjuk utama bersama ‘Kesan Alam Sekitar’ dan ‘Kesan Sosial’ yang diperkenalkan tahun lalu.
“UiTM menyaksikan peningkatan secara ketara bagi ‘Kesan Alam Sekitar’ berbanding tahun lalu dengan prestasi lebih tinggi daripada skor median berdasarkan taburan markah global.
“UiTM juga menyaksikan peningkatan bagi skor ‘Impak Sosial’ yang diukur melalui lima petunjuk iaitu ‘Pertukaran Pengetahuan’; ‘Kebolehkerjaan dan Hasil’; ‘Kesaksamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan’ serta ‘Kesan Pendidikan’,” katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, UiTM memaklumkan kedudukan universiti itu bagi indikator Pertukaran Pengetahuan meningkat daripada kedudukan 401 tahun lalu kepada 178 tahun ini yang menonjolkan dedikasi universiti ke arah pertukaran ilmu merentas negara dalam memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat.
“Bagi indikator ‘Tadbir Urus’ baharu yang diperkenalkan tahun ini, UiTM tersenarai antara 40 peratus institusi teratas dunia berdasarkan taburan markah global.
“Indikator ini mengukur sama ada institusi mempunyai tadbir urus yang kukuh dalam membenarkan keputusan dibuat secara terbuka, perwakilan pelajar, budaya beretika dan ketelusan kewangan.
“Secara keseluruhan, UiTM berada di kedudukan 599 daripada 1,403 institusi dan ke-13 daripada 26 institusi yang tersenarai di Malaysia pada tahun ini,” katanya.
Dengan pengiktirafan ini katanya, UiTM komited untuk memenuhi matlamat asal penubuhannya bagi penghasilan bakat Bumiputera profesional yang relevan dengan keperluan setempat dan sejagat.
Sumber: UTUSAN TV