27 MEI: KOMUNITI perniagaan terutama restoran muslim di kawasan Taman Tun Dr Ismail tidak selesa dengan tindakan sebuah pemilik kedai menjual daging beku memunggah daging babi dari atas lori untuk dibawa masuk ke dalam kedai pada waktu siang dan secara terbuka.

Ketua Bersatu Bahagian Segambut Mahathir Mohd Rais berkata, tindakan premis penjualan daging sejuk beku itu menyebabkan rasa tidak selesa kepada pengusaha kedai makan muslim yang terletak di sebelah premis berkenaan.

Mahathir berkata, pihaknya telah menyiasat kejadian tersebut dan mempunyai bukti dalam bentuk gambar dan video.

“Bersatu Bahagian Segambut mengecam dan menyelar sekeras-kerasnya tindakan proses pengurusan dan pemindahan daging babi yang dilakukan secara terbuka yang telah menyebabkan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat oleh pemilik sebuah premis penjualan daging sejuk beku di kawasan Taman Tun Dr Ismail.

“Tindakan pemilik premis daging sejuk beku tersebut tidak memikirkan sensitiviti umat Islam yang membeli makanan di kedai muslim yang yang terletak hanya kira-kira 5 meter daripada premis terbabit,” katanya kepada Suara Merdeka.

Tambahnya, kawasan pemungahan dan pemindahan daging babi tersebut juga menjadi laluan orang ramai.

Mahathir berkata, keberadaan premis daging bersebelahan kedai makan Islam turut menimbulkan persoalan kerana kawasan tersebut merupakan lokasi hotspot yang kebiasaannya dikunjungi oleh masyarakat beragama Islam.

Mahathir berkata, beliau telah memanjangkan isu tersebut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang kemudian memintanya untuk membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Bersatu Bahagian Segambut menggesa semua pihak yang berkepentingan termasuk semua agensi-agensi kerajaan untuk terus berkolaborasi agar lebih cakna mengenai isu sebegini.

“Kita turut mencadangkan agar pihak berwajib DBKL dapat memperketatkan syarat pemberian lesen dan dapat mengambil tindakan tegas akan perkara ini bagi memastikan mana-mana pemilik premis daging sejuk beku di Wilayah Persekutuan tidak melanggar mana-mana peraturan pengurusan daging yang dibenarkan,” katanya.-SM

sumber : suara merdeka

https://suaramerdeka.com.my/bersatu-segambut-selar-kedai-punggah-daging-babi-secara-terbuka/
Previous post Perkhidmatan Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta – Kementerian Kewangan
Next post Kepantasan tanpa had Realme 8 5G dengan teknologi DRE +3GB