NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan, Jamie Dimon pada sesi pendengaran dan pengawasan Jawatankuasa Perbankan Senat AS, di acara tahunan Wall Street pada hari Rabu, 6 Disember 2023, menyatakan bahawa mata wang kripto memudahkan aktiviti haram dan ia harus diharamkan.

“Jika saya adalah kerajaan, saya akan menutupnya,” tegas beliau.

Dimon yang mempunyai sejarah panjang dalam mengkritik mata wang digital menyatakan, satu-satunya kes penggunaan sebenar untuk mata wang kripto ialah bagi tujuan aktiviti jenayah, termasuk pengedaran dadah dan pengubahan wang haram dan bagi tujuan pengelakan cukai.

Dimon dan beberapa ketua industri lain, termasuk Brian Moynihan dari Bank of America, berkata pasaran crypto  mesti mengikut peraturan anti-pengubahan wang haram yang sama seperti institusi kewangan tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif JPMorgan, Jamie Dimon membuat kenyataan pada sesi pendengaran dan pengawasan Jawatankuasa Perbankan Senat AS, di acara tahunan Wall Street pada hari Rabu, 6 Disember 2023. Foto Bloomberg.

Senator Elizabeth Warren, yang mengetuai pendengaran tersebut, turut menyeru Kongres AS untuk mengemas kini peraturan crypto. 

Beliau turut menggesa eksekutif perbankan yang hadir untuk menyokong undang-undang ‘Akta Anti-Pengubahan Wang Haram Aset Digital 2023,’ yang dijangka akan memperkukuhkan undang-undang perbankan bagi menghalang penggunaan kripto untuk aktiviti haram.

Industri kripto telah mengalami banyak skandal sejak 12 bulan yang lalu, bermula dengan kejatuhan pertukaran kripto FTX pada November 2022. Ini meletakkan sektor ini di bawah pengawasan yang ketat daripada penggubal undang-undang AS.

Pada bulan lalu, satu lagi pertukaran kripto utama, Binance, telah didenda sebanyak $4.3 bilion kerana melakukan pelbagai pelanggaran, daripada pengubahan wang haram hingga kepada penipuan bank.

 

Sumber: RT.com via samudera.my

Previous post Totalife sasar jualan RM40 juta tahun 2024
MyCEB-iktiraf-peranan-rakan-media-dalam-industri-acara-perniagaan Next post MyCEB iktiraf peranan penting rakan media dalam industri acara perniagaan