JIKA ada satu kisah kejayaan yang mahu dijadikan inspirasi, ini adalah paling tepat iaitu tentang seorang usahawan wanita yang pernah melalui zaman kelam lapan tahun lepas kini bangkit membina empayar perniagaannya sendiri.
Pemilik dan pengurus syarikat perkhidmatan pendingin hawa, Jfour Rule Resources, Maizatul Shahida Jalil, 40, yang menggunakan jenama Kak Aircond Empire ini merupakan antara usahawan dalam bidang berkenaan tersohor di Kedah.
Namun kejayaan Maizatul Shahida menempa nama dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum Adam ini juga bukan mudah, melainkan penuh kegetiran kerana beliau bangkit daripada bawah dan kosong tanpa sebarang modal.
Menurut ibu tunggal empat anak ini, beliau membuka syarikat tersebut pada 2016 sebagai tukang servis pendingin hawa dari rumah ke rumah di sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar.
“Saya masih ingat dulu terpaksa naik motosikal dari rumah ke rumah untuk buat servis. Bila jauh sikit saya sewa kereta RM70 dan minyak RM10 keliling pekan ke sana sini cari rumah untuk buat servis pendingin hawa.
“Susah sangat masa itu apatah lagi saya seorang perempuan dan ibu tunggal lagi kerana terpaksa bersaing dengan kaum Adam. Bukan semua yang percaya saya boleh buat kerja. Tetapi saya gagahi juga semua itu,” katanya ketika ditemui di pejabat syarikat berkenaan di Jitra Kubang Pasu baru-baru ini.
Menurut usahawan ini, langkahnya agak mudah selepas itu terutama ketika negara dilanda cuaca panas melampau pada awal 2016 yang menjadikan pendingin hawa satu kelengkapan penting di setiap rumah.
“Saya banyak dapat tempahan servis dan pasang pendingin hawa ketika itu. Alhamdulillah saya juga dapat banyak tender daripada pejabat kerajaan, agensi kerajaan dan swasta termasuk masjid-masjid.
“Daripada situ tanpa disedari saya bangkit sikit demi sikit. Kadang-kadang tidak percaya sebab 11 tahun lepas apabila diceraikan saya hanya tinggal sehelai sepinggang dan buntu untuk menyara empat anak yang masih kecil tetapi kerana anak-anak inilah saya bangkit,” ceritanya sambil mengalirkan air mata.

Ketika ditanyakan tentang nama Kak Aircond Empire, kata beliau, ia dijenamakan daripada panggilan mesra pelanggan-pelanggannya sebelum ini.
“Dulu bila buat servis pelanggan selalu panggil, Kak! Aircond, Kak! Aircond saya… Dari situ timbul idea untuk menjenamakan syarikat saya agar lebih mesra pelanggan,” ceritanya.
Berkongsi resepi kejayaan bersaing dalam dunia yang dimonopoli oleh lelaki itu katanya, perkhidmatan yang diberikan perlu terbaik sehingga memuaskan hati pelanggan baik persendirian mahupun syarikat.
“Salah satu resepi yang boleh saya kongsikan bagaimana saya mampu bersaing dalam bidang yang penuh lelaki ini adalah, saya akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik.
“Walaupun sekarang sudah mempunyai lapan pekerja namun saya tetap turun padang untuk melihat kerja mereka di lapangan, saya harus pastikan kami beri servis terbaik,” jelas yang sering dijemput menjadi Pegawai Penilai di institusi kemahiran.
Katanya, syarikat berkenaan yang mempunyai perolehan sehingga RM1 juta setahun itu juga dalam proses membina akademi latihan kemahiran berkaitan pendingin hawa kepada belia negeri ini.
“Saya melabur RM60,000 untuk menyediakan kemudahan di akademi ini yang dijangka beroperasi pada Januari dengan pengambilan 25 pelatih. Saya selalu ingin menyumbang balik kepada masyarakat dengan melatih anak-anak muda ini dalam bidang tersebut.
“InsyaAllah saya akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman saya dalam bidang ini untuk melatih mereka. Sebelum ini saya sering dijemput untuk memberi kursus di institusi kemahiran dan itu perkara paling membahagiakan saya,” jelas pengasas Pusat Akademi Skill Latihan Kak Aircond (KAASTC) ini.
Bercakap tentang perancangan masa depan, kata wanita besi ini, beliau hanya menaruh harapan agar syarikat tersebut menjadi sebuah empayar pendingin hawa sekali gus membolehkan ia diwarisi turun temurun.
“Alhamdulillah anak-anak saya yang kesemuanya lelaki terutama yang pertama dan kedua berminat dalam bidang ini. Perniagaan ini adalah untuk mereka juga.
“Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi empayar perniagaan saya ini dan memberi pengetahuan kepada orang ramai berkaitan bidang ini,” katanya yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam bidang itu.
Sumber: UTUSAN MALAYSIA