KISAH usahawan muda, Muhammad Zulfaqar Rosli, 24, yang sedang dikenali ramai menerusi produk makanan coklat balang (jar) ini menarik perhatian media.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini bukan sahaja mampu membina empayar perniagaan sendiri, malah berjaya mencapai jualan mencecah 1 juta ketika bergelar pelajar USIM.

Dia juga pernah menerima Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021, tempat kedua Kategori Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik di Hotel Marriot, Putrajaya, 21 Disember 2021.

Muhammad-Zulfaqar-Rosli-AB-Bites
Sumber Foto: USIM

Mengimbas kembali sejarah, dia mula meminati bidang perniagaan ketika sedang melanjutkan pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 2017 dengan menjual pakaian jersi secara kecil-kecilan kepada rakan-rakan sekolah.

Bermodalkan RM300, dia mendapatkan bekalan jersi berkenaan di Kelantan dan Thailand.

“Saya juga pernah menjalankan perniagaan ceramah dan bertindak menjadi penceramah di sekolah dengan mengadakan seminar dengan nama Zulfa Akademi salah satu yang diajar adalah cara menghafal Quran menggunakan konsep Dr. Zakir Naik.

“Alhamdulillah, pada ketika itu boleh menjana sehingga RM2,000 hingga RM3,000 dengan lima orang rakan lain,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Muhamad Zulfaqar yang bercita-cita menjadi penceramah itu berkata, selepas ditawarkan memasuki USIM, dia terus menjalankan pelbagai perniagaan termasuk menyediakan perkhidmatan kereta ‘sapu’ bagi menghantar pelajar dan menjalankan kelas mengaji quran.

“Dengan perniagaan kereta ‘sapu’ saya mampu menjana pendapatan RM85 hingga RM100 bermula tengahari hingga pukul 4 petang. Saya juga sempat menjual biskut produk usahawan lain sehingga terjual mencecah 200 botol.

“Alhamdulillah, walaupun agak sibuk dengan perniagaan saya masih mampu menjaga keputusan setiap semester dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas,” katanya mampu menjana pendapatan sehingga RM1,800 sebulan pada ketika itu.

Menceritakan dengan lebih lanjut, anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia kini telah mempunyai kilang pada 2019 iaitu tahun kedua pengajian dan dia menjadi usahawan muda dengan menjana pendapatan sehingga RM300,000 sebulan.

Selepas beberapa tahun, beliau kini mempunyai lebih 2,000 ejen di seluruh Malaysia serta mempunyai 20 orang kakitangan di kilang miliknya di Kawasan Perindustrian Nilai 7, Negeri Sembilan dalam perniagaan coklat premium.

“Sebanyak empat jenis coklat premium yang disaluti creme o, badam, perisa coklat gelap dan coklat putih pada harga RM17 satu unit. Kini, kilang mampu menghasilkan lebih 1,000 unit sehari,” katanya lagi.

produk-AB-Bites
Sumber Foto: Perasmian Produk AB Bites

Muhammad Zulfiqar baru-baru ini melancarkan produk baharu, AB Bites krunch satu pek berharga RM8.50. Ia merupakan bijiran yang dinikmati dengan susu.

Menariknya, AB Bites kini telah berjaya melebarkan sayap perniagaan ke Singapura.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Gambar Utama: Instagram

Previous post redONE agih lebih RM1.5 juta untuk hargai pencapaian luar biasa rakan kongsi jualan
MACEOS-focuses-on-sustainability-to-position-Malaysia-as-key-global-business-events-destination Next post MACEOS focuses on sustainability to position Malaysia as key global business events destination