PERNAHKAH anda membaca buku motivasi bertajuk ‘Million Dolar Dream’ yang popular di Asia Tenggara? Buku ini diinspirasikan dari kisah benar seorang wanita yang berjaya menjadi usahawan dan motivator pada usia muda iaitu Merry Riana. Kini, beliau berkecimpung dalam kerjaya sebagai Motivator Wanita Nombor 1 di Asia.
Wanita yang lahir di Jakarta pada 29 Mei 1980 ini membesar dalam keluarga yang sederhana. Cita-cita Merry pada asalnya adalah untuk mengikuti pembelajaran dalam Jurusan teknik elektro di Universiti Trisakti, namun Merry gagal masuk ke universiti berkenaan disebabkan berlaku rusuhan di Indonesia pada Mei 1998.

Anak sulung dari tiga beradik hasil pasangan Ir. Suanto Sosro Saputro dan Lynda Sanian ini kemudian dibawa ke Singapura sehingga keadaan Indonesia kembali stabil. Justeru bermula kehidupan baru Mery di Singapura akibat konflik yang berlaku di Indonesia.
Demi meneruskan pembelajaran dan cita-citanya, beliau kemudian memilih Kolej di Singapura kerana jaraknya dekat, persekitaran yang aman dan sistem pendidikan di sana yang sangat baik.
Merry telah belajar di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada tahun 1998 dalam jurusan yang beliau minati tersebut. Di sana, beliau telah mendapatkan biasiswa dari kerajaan Singapura yang berjumlah $40,000 USD, namun biasiswa yang diterima tidak mencukupi untuk keperluan kehidupan beliau di sana.
Kesempitan Wang Ketika Di Kolej
Kos pembelajaran pada ketika itu amat tinggi. Akibat dari itu, beliau hanya makan mee segera dan mengikuti seminar pada waktu malam demi mendapatkan makanan percuma.
Untuk mengubah kehidupan, Merry mula mendapatkan kerja bagi menampung hidup. Beliau telah menjual surat khabar di tepi jalan, menjaga kedai bunga dan bekerja di hotel sebagai pelayan.
Selepas beberapa lama bekerja, beliau mula bertekad dan bercita-cita untuk mengubah hidupnya.
Kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan dan pengalaman dalam perniagaan, Merry Riana telah mengikuti seminar dan menyertai Organisasi Kemahasiswaan yang berkaitan dengan dunia perniagaan.
Jatuh Bangun Dalam Berniaga
Sejak dari itu, tanpa pengalaman serta pengetahuan, Merry memberanikan diri untuk terjun ke bidang perniagaan. Beliau melakukannya karana merasakan bidang pekerjaan tidak dapat memenuhi impiannya mencapai kejayaan pada usia 30-an.

Merry mencuba nasib untuk meraih keuntungan dengan menyertai perniagaan saham dan pemasaran rangkaian (MLM), namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Beliau meraih pengalaman berlatih dalam mengusahakan perniagaan MLM biarpun akhirnya mengalami kerugian 200 dolar. Dalam perniagaan sahampun beliau kerugian 10.000 dolar.
Langit tidak selalunya cerah. Beliau mengalami tekanan mental disebabkan semua pekerjaan yang beliau lakukan mengalami kegagalan di samping sumber kewangan semakin merosot akibat hilang wang dalam pelaburan saham.
Namun, itu tidak mematahkan semangat wanita ini. Merry kembali bangkit dan berusaha keras untuk menjadi usahawan. Beliau mula mempelajari ilmu perniagaan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya beliau memutuskan untuk belajar dalam bidang Industri Perancangan Kewangan kerana merasakan bidang itu mampu membuat dirinya mencapai impian dalam waktu yang relatif singkat.

Memasuki Industri Kewangan
Selepas menamatkan pengajiannya, beliau memulakan kerjayanya sebagai penasihat kewangan namun kerjaya itu ditentang oleh keluarganya.
Tanpa memikirkan risiko kerjayanya, beliau tetap fokus dengan kerjayanya dan berjaya dengan menjual insurans dan pelbagai produk yang berkaitan dengan kewangan.
Setelah enam bulan bekerja, beliau telah berjaya membayar semua hutang. Pada tahun pertama bekerja, beliau telah berjaya menghasilkan $200,000 USD.
Pada tahun 2003 pula, beliau telah diberi penghargaan dalam kerjaya penasihat kewangan dan telah menjadi Pengurus pada tahun 2004 dengan penubuhan syarikatnya sendiri.
Seterusnya pada tahun 2006, beliau telah berjaya menghasilkan $1,000,000 USD dan juga telah menerima pelbagai anugerah.

Dapat Liputan Media
Media-media di Indonesia berbondong-bondong menceritakan kisah kejayaannya dengan membuat liputan di berbagai acara seminar yang diadakan oleh Merry. Akhirnya beliau dikenal sebagai pengusaha wanita yang berjaya dan menjadi motivator untuk berkongsi pengetahuan serta rahsia-rahsia kejayaan agar setiap orang menjadi individu yang berjaya.
Kini, Merry memiliki impian untuk memberikan impak positif bagi 1 juta orang di Asia, terutama di Indonesia. Salah satu kaedahnya ialah dengan menulis buku yang dapat memberi inspirasi kepada ramai orang terutamanya kepada anak-anak muda agar dapat mengikut jejak langkahnya mengubah kehidupan.

Akhirnya, buku bertajuk ”Dream of a million dollars” atau dalam bahasa ‘Mimpi Sejuta Dolar’ itu sendiri telah menjadi buku terlaris hanya dalam waktu satu bulan setelah dilancarkan. Buku itu menarik perhatian orang Singapura dan Asia Tenggara kerana menyingkap pencapaian Merry Riana yang berjaya menghasilkan $1.000.000 pada usia 26 tahun di samping mengimbas sejarah Merry yang belajar di Universiti Teknologi Nanyang yang berhutang sebanyak S $ 40000.
Kisah kejayaan Merry mula diketahui setelah muncul di laporan akhbar The Strait Times pada 26 Januari 2007, berjudul “dia menghasilkan juta pertamanya pada usia 26 tahun!”. Merry kini aktif sebagai penceramah motivasi di berbagai seminar, perusahaan, sekolah, dan media massa di Singapura serta beberapa negara lain di Asia Tenggara.
Sumber: Kompasiana, hrmacapp.com, CNN Indonesia, getittogetherbook.com, tokoh.co.id,