BESUT – Seorang pemuda tidak menyangka usahanya menanam ubi kayu secara sampingan membawa pulangan lumayan apabila mampu menjualnya empat tan metrik sehari pada musim Monsun Timur Laut.

Muhamad Azizan Mat Zin, 30, berkata, dia mengusahakan tanaman itu bersama sepupunya, Mohd. Taufik Abd. Rahim, 29, di Kampung Amir di sini dan mula menjualnya sejak dua minggu lalu.

Katanya, ia dijual RM3 bagi satu kilogram manakala harga borong pula RM1.50 sekilogram.

“Saya tidak menyangka sejak hari pertama jualan kami mencecah sehingga RM6,000 sehari dan ia mendapat permintaan tinggi dari Terengganu, Kelantan serta Pahang.

“Sebelum ini saya menanam tembikai seluas lapan hektar. Di samping itu saya memanfaatkan ruang yang ada dengan menyemai pokok ubi kayu sebagai persediaan ketika musim tengkujuh ,” katanya ketika ditemui wartawan di gerainya di Kampung Amir, semalam.

Tanam-ubi-kayu-secara-sampingan-beri-pendapatan-lumayan-RM6,000-sehari
Muhamad Azizan Mat Zin menunjukkan sebahagian ubi kayu yang dijual di gerainya di Kampung Amir, Besut, Terengganu, semalam.- Gambar Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli (UTUSAN)

Katanya, penanaman ubi kayu bersama tembikai dapat menjimatkan kerana tidak lagi mengeluarkan belanja untuk membaja ubi dan hanya menggunakan baja tembikai.

“Berdasarkan pengalaman, saya melihat tanaman ubi kayu berpotensi kerana mempunyai permintaan tinggi. Oleh itu tahun ini saya menanam ubi kayu dalam jumlah yang banyak dan tidak menyangka dapat menjualnya empat tan metrik sehari hasil dari kebun saya sendiri,” katanya.

Muhamad Azizan berkata, perniagaan ubi kayu yang diusahakan pada musim tengkujuh itu bukan hanya menjanjikan pendapatan lumayan tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan kini dia dibantu oleh 10 orang pekerja. 

 

Sumber: UTUSAN

putin-boleh-menang-jika-ukraine-tidak-dibantu-AS Previous post Putin boleh menang perang dengan Ukraine jika AS tidak meneruskan bantuan
Next post UiTM duduki tangga ke-151 Asia