KUALA LUMPUR, 3 Mei 2021: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
Malaysia mencadangkan supaya satu klausa perubahan harga (Variation of Price,
VOP) diperuntukan kepada projek-projek kerajaan sekurang-kurangnya bagi tempoh
perlaksanaan PKP. Pemberian VOP ini dijangkakan akan mengurangkan tekanan dan
beban kewangan kepada kontraktor yang terjejas dengan kenaikan harga bahan binaan
dan memastikan projek yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual.


“Pihak CIDB sedia maklum tentang kenaikan harga bahan binaan di pasaran yang
merupakan kesan daripada pandemik COVID-19 yang dialami seluruh dunia. Tidak
dinafikan kenaikan harga bahan binaan boleh menjejaskan aliran kewangan penggiat
industri di sepanjang rantaian bekalan sektor pembinaan dan kenaikan ini dijangka
akan dipindahkan kepada pengguna akhir. Isu ini tentunya mencetuskan pelbagai
kesan sampingan kepada semua penggiat industri dalam situasi semasa pandemik
yang mencabar,” kata Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul
Hamid.


CIDB mendapati kenaikan harga bahan binaan ini memberi kesan berbeza kepada
kontraktor gred kecil dan besar. Setiap pengeluar akan memberikan kadar diskaun
yang berbeza untuk pembeli tertakluk kepada kuantiti, terma bayaran dan rekod
pembelian dan pembayaran sebelumnya. Contohnya, kenaikan harga yang tinggi
mungkin dirasai dalam pembelian kuantiti kecil, manakala harga untuk pembelian pukal
pula tidak menunjukkan perubahan ketara. Faktor lain yang dilihat turut mempengaruhi
peningkatan harga adalah peningkatan kos bahan mentah, stok bahan binaan yang
terhad, serta kos sampingan perniagaan.


Berikutan artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 23 April 20210 bertajuk, “Harga
barang terus naik, kontraktor bakal gulung tikar,” CIDB telah membuat semakan harga
di kedai hardware sekitar Perlis. Purata harga bahan binaan di Wilayah Utara pada Mac
2021 berbanding Ogos 2020 menunjukkan peningkatan harga purata sekitar 40%.

Peningkatan harga bahan binaan utama tersebut melibatkan harga besi sebanyak 43%
daripada RM2,304.00/tan kepada RM3,302.00/tan; simen sebanyak 4% daripada
RM16.00/beg kepada RM16.70/beg; batu agregat sebanyak 4% daripada RM35.00/tan
kepada RM36.00/tan; batu-bata sebanyak 18% daripada RM0.36/unit kepada
RM0.46/unit; konkrit siap bancuh sebanyak 27% daripada RM195.00/m³ kepada
RM229.00/m³ dan harga pasir melonjak sebanyak 96% daripada RM31.00/tan kepada
RM61.00/tan. Data harga bahan binaan CIDB merupakan harga purata yang diperolehi
secara bulanan daripada kontraktor, kedai hardware dan pengeluar. Harga ini disiarkan
untuk rujukan umum di portal rasmi maklumat kos iaitu National Construction Cost
Centre di n3c.cidb.gov.my.


Simulasi berdasarkan kenaikan harga ini menunjukkan peningkatan kos pembinaan
sebanyak 7%. Peningkatan kos pembinaan ini dilihat mengurangkan margin
keuntungan kontraktor terutamanya kontraktor kecil yang dianggarkan sekitar 15%
hingga 25%. Simulasi ini adalah berdasarkan weightage kos penggunaan bahan binaan
kepada keseluruhan kos pembinaan iaitu besi sebanyak 26.6%, simen 3.6%, dan pasir
1.3%.

“CIDB dijangka akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam masa terdekat ini bagi
melihat cara terbaik untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil yang terjejas
disebabkan kenaikan harga bahan binaan ini,” kata Datuk Ir. Ahmad ‘Asri.


Sementara itu, para kontraktor adalah dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memberi
sebutharga kepada pelanggan bagi memastikan mereka bersedia dengan kemungkinan
kenaikan harga berdasarkan harga bahan binaan semasa. Bagi kontrak yang sedang
berjalan, kontraktor dinasihatkan untuk berunding semula dengan pelanggan
berdasarkan kenaikan harga yang terkini.

Sumber : CIDB Malaysia

Previous post Bekas pekerja bengkel, bangkit jadi jurutera di syarikat antarabangsa
Next post Penangguhan kenaikan kadar tol tahun 2021